Tiga maut terperangkap dalam lubang pembetung

Tiga maut terperangkap dalam lubang pembetung

am@hmetro.com.my

Lenggong: Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia maut selepas terperangkap dalam lubang pembetung di sebuah resort yang sedang dalam pembinaan di Kampung Ibol, Sumpitan, di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dua daripada mangsa warga tempatan berusia 29 dan 37 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara warga Indonesia meninggal dunia di hospital.

Katanya, insiden berlaku ketika tiga mangsa maut itu sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah resort yang baharu sedang dibina itu bersama empat rakan sekerja mereka yang terselamat, di mana ketujuh-tujuh mangsa terperangkap dalam lubang pembetung itu.

“Maklumat yang diterima mengatakan terdapat seramai tujuh orang mangsa terperangkap di dalam lubang pembetung semasa melakukan kerja-kerja pembersihan di resort sedang dibina itu.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, bomba dimaklumkan bahawa lima dari tujuh yang terperangkap sudah dibawa keluar oleh orang awam dan dihantar ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk menerima rawatan.

“Manakala terdapat dua orang pekerja masih terperangkap di dalam lubang pembetung itu, namun kedua-dua mangsa terakhir itu dikeluarkan dari pembetung berkenaan oleh anggota bomba, dengan mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, lubang pembetung berkenaan dianggarkan bersaiz 5.2 meter panjang, 4.1 meter lebar, dan berkedalaman 2.4 meter.

Katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong digerakkan ke lokasi sebaik panggilan diterima jam 10.08 pagi tadi.

Beliau berkata, tindakan operasi termasuk dengan melaksanakan pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap terhadap anggota berserta alat pernafasan untuk turun ke dalam lubang pembetung berkenaan bagi mengeluarkan mangsa.

“Anggota kemudiannya mengikat mangsa dengan menggunakan tali dan menarik mangsa keluar dari lubang pembetung.

“Sejurus mangsa berjaya dikeluarkan, ia kemudiannya diperiksa oleh pasukan perubatan yang mengesahkan kematian kedua-duanya, sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik, sementara selebihnya yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top