Tiga lelaki didenda RM2,500 rentas sempadan guna pangkalan haram

Tiga lelaki didenda RM2,500 rentas sempadan guna pangkalan haram

PASIR MAS: Mahkamah Majistret di sini hari menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 kepada tiga lelaki selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini dari Thailand menggunakan laluan yang tidak sah di pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang pada Isnin lalu.

Kesemua tertuduh iaitu Mohd. Karlili Mohd. Hussin, 33, yang merupakan pemandu bot tambang bersama dua penumpangnya, Lim Teik Hooi, 21, dan Mohammad Azrol Azhar, 26, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa memasuki Malaysia dari Thailand dengan menggunakan laluan yang tidak dibenarkan untuk masuk ke negara ini.

Kesalahan itu dilakukan pada 16 Disember lalu di tebing sungai dekat pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang di sini kira-kira pukul 4 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahfuzah Hamizah Mohd. Ariff manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tiara Shahira Mohd. Wira.

Terdahulu, Mahfuzah Hamizah memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran untuk tidak mengulangi kesalahan sama dan menggunakan laluan yang sah selepas ini.

Bagaimanapun, Tiara dalam rayuannya meminta hukuman denda paling minimum untuk ketiga-tiga tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM2,500 kepada setiap tertuduh dan penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Ketiga-tiga tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Berdasarkan rekod, kes yang dihadapi ketiga-tiga lelaki itu merupakan pertuduhan pertama bagi kesalahan merentas sempadan melalui Sungai Golok yang didakwa di mahkamah selepas polis melaksanakan operasi besar-besaran untuk menangkap rakyat tempatan yang pulang ke negara ini dari Thailand melalui pangkalan haram di Sungai Golok bermula 1 Disember lalu.

Berdasarkan fakta kes, tujuh pegawai dan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama tiga anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman mendapati dua lelaki menaiki bot yang dikemudi oleh seorang pemandu dari arah pengkalan haram Thailand semasa menjalankan pemantauan menerusi dron.

Bot tersebut dilihat terus menghampiri ke tebing sungai di pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang sebelum kesemua suspek cuba untuk melarikan, namun berjaya ditahan selepas pegawai polis menghampiri bot mereka.

Semakan rakaman video menerusi dron polis mendapati, ketiga-tiga tertuduh masuk ke negara ini melalui pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang melalui Sungai Golok iaitu jalan yang tidak diwartakan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tindakan tiga individu merentas sempadan Malaysia-Thailand menggunakan laluan tidak saha membawa padah apabila mereka ditahan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa melakukan aktiviti itu melalui pangkalan haram Pohon Jambu di sini.

Kesemua individu itu ditahan pada pukul 4 petang semasa melakukan aktiviti rentas sempadan dengan menyeberang Sungai Golok menggunakan sebuah bot dari Thailand menggunakan laluan tidak sah.-UTUSAN

Scroll to Top