Tiga kali dipenjara, Fuad GV9 insaf tengok ibu bertongkat datang melawat

Tiga kali dipenjara, Fuad GV9 insaf tengok ibu bertongkat datang melawat

Bintang Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Fuad Rahman terkenang suatu peristiwa yang membuatkan dirinya nekad untuk berubah meninggalkan kancah penagihan dadah.

Menurut laporan mStar Online, penyanyi berusia 43 tahun itu berkata, dia insaf apabila melihat ibunya yang berusia 81 tahun ketika itu gigih datang melawatnya di penjara.

“Ibu saya datang melawat dengan bertongkat kerana keadaannya yang sudah tidak berapa kuat berjalan.
“Apabila saya tatap wajah ibu ketika itu, terus buat saya tersedar. Ketika itulah saya kata, inilah masanya, full stop!
“Saya berada dekat ‘dalam’ (penjara), takut apa-apa terjadi kepada ibu di luar. Ada juga kawan-kawan…”
“…tidak sempat melihat ibu bapa yang meninggal dunia disebabkan masih dipenjara,” kata pemilik nama Mohamed Fuad Abdul Rahman itu.

Bercerita lanjut, penyanyi berasal dari Singapura itu mula menjaga solat dan mendalami ilmu agama sepanjang berada di sebalik tirai besi.

“Mereka yang berada dalam penjara tidak semuanya berfikiran negatif dan enggan berubah. Ada yang rajin belajar agama sebab kami ada kelas ilmu ketika menjalani hukuman.
“Saya banyak bergaul dengan mereka dalam kelas agama dan cenderung untuk berubah. Alhamdulillah selepas kali ketiga dalam penjara saya bertemu dengan kawan-kawan yang mahu berubah.
“Saya sentiasa menjaga solat. Walau apa pun masalah yang datang, saya akan ingat Allah. Itu yang membuatkan saya lupa benda-benda lama,” ujarnya.

Terdahulu, penyanyi lagu Bila Rindu itu terjebak dengan bahan terlarang tersebut sejak remaja sehingga dipenjara sebanyak tiga kali.

Sumber: mStar Online (Farol Hadi) , Instagram Fuad Rahman

Scroll to Top