Tiga jam Naim Daniel 'sekolah'kan lelaki yang mengugutnya

Tiga jam Naim Daniel 'sekolah'kan lelaki yang mengugutnya

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Naim Daniel, 27, ada bersemuka dengan lelaki yang direman polis atas kesalahan meninggalkan komen ugutan mengancam keselamatan keluarganya, baru-baru ini.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin berkata dia, sempat ‘sekolahkan’ lelaki terbabit selama tiga jam demi memberi kesedaran buatnya.

“Pada waktu itu, saya melihat dia dalam keadaan bergari. Saya terus tanya pada dia, ‘kau tak menyesal ke masuk penjara semata-mata kecam aku?’ Memang saya beri ceramah percuma selama tiga jam supaya dia sedar dengan apa yang dia buat.

“Namun, dia hanya jawab pada saya tindakan yang dilakukannya itu adalah disebabkan terikut-ikut dengan orang lain. Terus saya rasa macam tergamam sekejap,” katanya.

Naim mengakui agak sedih disebabkan terikut dengan komen orang lain, tidak semena-mena individu berkenaan terpaksa masuk lokap dengan kesalahan sebegitu.

Menurut Naim, individu itu memang terus memohon maaf dan mengakui kesilapannya selain berjanji tidak akan melakukannya lagi.

“Bagi saya, tindakan yang saya buat ini memang dah betul. Kalau tengok netizen depan-depan tidaklah berani mana pun. Ini semua demi pengajaran,” katanya.

Dalam pada itu, Naim tidak pernah merasa segala hantarannya di media sosial perlu dipersetujui ramai. Namun, dia tetap putuskan untuk memadam ribuan komen negatif di hantarannya yang kontroversi baru-baru ini.

“Saya dah padam 2,000 komen berbaur negatif dalam video saya. Malah, saya pun dah mula berdamai dengan masyarakat dan mungkin fahaman mereka agak berbeza dengan apa yang saya nak sampaikan pada waktu itu.

“Saya tidak menyalahkan mereka. Mungkin cara penyampaian sendiri pun salah sehingga mereka berani melakukan tindakan sebegitu rupa,” katanya.

Terdahulu, Naim membuat laporan polis terhadap pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Balai Polis Semenyih.

Susulan itu, seorang lelaki ditahan di Perak pada pertengahan Mei lalu dan telefon suspek yang berusia 24 tahun itu turut dirampas bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd