Tidak teruskan garis panduan hadiri majlis bukan Islam keputusan bijak – DAPSY

Tidak teruskan garis panduan hadiri majlis bukan Islam keputusan bijak – DAPSY

IPOH: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) kebangsaan mengalu-alukan keputusan Jemaah Menteri semalam untuk tidak meneruskan garis panduan penglibatan orang Islam dalam majlis perayaan dan kunjungan ke rumah ibadat selain Islam.

Ketuanya, Woo Kah Leong berkata, keputusan itu adalah langkah yang bijaksana demi mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, DAPSY juga menjunjung tinggi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang tidak bersetuju dengan cadangan kajian tersebut.

Katanya, titah baginda adalah contoh kebijaksanaan institusi diraja dalam menjaga keharmonian agama dan hubungan antara kaum di negara kita.

“DAPSY ingin menegaskan bahawa isu garis panduan ini bukan soal campur tangan golongan bukan Islam dalam hal ehwal agama Islam. Ini adalah persepsi dan tanggapan yang tidak betul.

“Ini kerana kerana garis panduan tersebut berpotensi menyulitkan dan menyusahkan pihak penganjur bukan Islam yang ingin menjemput rakan-rakan Muslim untuk sama-sama menyertai majlis perayaan dengan niat yang baik dan hati yang terbuka.

“Dengan wujudnya karenah birokrasi yang rumit, tentunya ini akan menjadikan pihak penganjur untuk tidak mengundang masyarakat Muslim dan sekali gus menjejaskan interaksi antara kaum dan ini tidak akan bermanfaat kepada perkembangan masyarakat berbilang kaum di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Kah Leong berkata, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh perlu berhenti daripada meneruskan polemik isu tersebut.

Menurutnya, isu itu telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang turut melibatkan semua Menteri daripada UMNO.

“Sebagai ahli kerajaan dan ahli UMNO, Akmal seharusnya akur kepada keputusan tersebut dan menghormati konsensus yang telah dicapai.

“Akmal sepatutnya berpolitik dengan lebih matang, berhemah dan profesional dan bukan menjadikan setiap isu sebagai isu perkauman dan keagamaan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan satu garis panduan khusus bagi umat Islam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seharusnya isu berkenaan juga tidak perlu dibangkitkan lagi selepas ini kerana ia juga telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri. – UTUSAN

 

Scroll to Top