'Tidak sering bertanding, reda dengan keputusan' – Muhaimin

'Tidak sering bertanding, reda dengan keputusan' – Muhaimin

am@hmetro.com.my

Tapah: Calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek yang kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, tidak serik untuk bertanding lagi jika diberikan mandat oleh kepimpinan tertinggi parti.

Abdul Muhaimin, 44, berkata ini adalah pengalaman pertama bertanding dalam pilihan raya dan berpeluang merasai seperti rakan seperjuangan sebelum ini.

“Sekiranya diberikan mandat lagi oleh PN, saya akan terus berjuang insya-Allah kerana kita masuk bertanding ini adalah untuk berlumba-lumba berbuat kebaikan,” katanya ketika ditemui di pusat penjumlahan undi PN di Kompleks PAS Tapah, di sini malam ini.

Dalam keputusan rasmi PRK DUN Ayer Kuning diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini, calon mewakili Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan undi majoriti 5,006 apabila memperoleh 11,065 undi, menewaskan Abdul Muhaimin yang memperoleh 6,059 undi; serta calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS yang memperoleh 1,106 undi.

Abdul Muhaimin dalam pada itu menitipkan ucapan tahniah serta nasihat kepada Mohamad Yusri supaya terus berbakti dan melakukan kebajikan kepada rakyat.

“Saya ucap tahniah kepada Mohamad Yusri atas kemenangan yang diraih pada PRK kali ini. Terus bekerja untuk rakyat, insya-Allah.

“Kita masuk bertanding dan demokrasi. Siapa yang menang, galaslah amanah dengan baik, urus urusan rakyat dengan jujur dan amanah, insya-Allah.

“Saya menerima dengan sabar dan reda atas apa yang sudah diputuskan mengikut kehendak dan juga keinginan rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top