norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, menyifatkan tidak perlu segan untuk memohon maaf apabila sudah berbuat silap sebagaimana dilakukannya baru-baru ini susulan kecuaian memuat naik video promosi produk nikotin.
Terdahulu, Siti tampil memohon maaf dalam hantaran ditulis di Instagram Story (IGs) miliknya berhubung kesilapan membuat perkongsian itu tanpa menyelidik dan mengetahui produk dipromosikan berkenaan.
Siti ketika ditemui berkata, tiada sebab untuknya berasa segan untuk memohon maaf di atas khilafnya sendiri kerana ia adalah tindakan wajar bagi mengelakkan salah faham terjadi itu berpanjangan.
“Jika khilaf (tersilap), saya perlu minta maaf. Itu lebih baik. Tak perlu rasa segan untuk minta maaf pun. Lagi pula, saya sendiri yang kongsikannya (hantaran video) di media sosial.
“Apapun, saya sudah memohon maaf dan rasanya semua orang faham. Saya kongsikan (hantaran video) itu pun dalam keadaan santai. Jadi, mungkin silap kongsi,” katanya kepada Harian Metro.
Ujarnya, dia berharap dengan permohonan maaf dibuatnya baru-baru ini dapat diterima baik oleh orang ramai. Siti juga mengaku akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Siti hadir pada majlis perasmian Budaya Raya berlangsung di Pavilion Bukit Bintang di sini, semalam yang juga memberinya peluang menjadi selebriti pertama di Malaysia bekerjasama dengan pusat membeli-belah ternama itu.
“Saya akan mempamerkan koleksi peribadi merangkumi pakaian raya serta beberapa kejayaan pernah saya raih di dalam dan luar negara untuk tatapan pengunjung.
“Kira-kira 20 koleksi baju raya yang pernah saya gayakan juga menjadi bahan pameran di sini. Selain itu, ada beberapa anugerah yang saya menang turut dipamerkan nanti.
“Saya juga memang ada impian sebenarnya untuk buka galeri sendiri, tapi belum jumpa lokasi sesuai. Mungkin ini adalah permulaan untuk saya,” katanya.
Sempena Ramadan ini, Siti juga memaklumkan dia bakal melancarkan lagu raya terbaharu tidak lama lagi, selain mengharapkan sokongan terhadap lagu Tak Balik Raya yang dirakamkan anak saudaranya, Umairah.
Katanya, lagu Tak Balik Raya itu baru dilancarkan Umairah kelmarin dan semoga ia diterima baik pendengar muzik tanah air berikutan selepas Ramadan, kita juga akan meraikan kedatangan Syawal.
© New Straits Times Press (M) Bhd