essabuyamin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Tiada tindakan lanjut akan diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap tiga penyampai radio yang terbabit dalam kontroversi baru-baru ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, ketiga-tiga penyampai radio yang terbabit dalam kes menghina penganut agama Hindu itu sudah pun memohon maaf dan digantung tugas oleh radio terbabit.
“Mereka juga sudah pun menghadapi tekanan yang besar sepanjang isu ini berlaku sejak beberapa hari lalu dan kita tidak bercadang mengambil apa-apa tindakan lanjut kepada penyampai radio berkenaan kerana kompaun kepada syarikat pengendali juga sudah dikeluarkan.
“Jumlah kompaun RM250,000 yang dikenakan terhadap syarikat pengendali iaitu Maestra Broadcast Sdn Bhd (MBSB) itu adalah munasabah.
“Tindakan itu diambil dengan izin Jabatan Peguam Negara, khususnya Timbalan Pendakwa Raya, selepas mendapati MBSB gagal mematuhi syarat sebagai pemegang lesen MCMC.
“Sebagai pemegang lesen, terdapat tanggungjawab yang perlu dipatuhi. Malangnya, mereka membenarkan satu kandungan yang menjadi perhatian umum dimuat naik di akaun rasmi mereka.
“Justeru, keputusan MCMC adalah mengenakan kompaun terhadap MBSB sebagai syarikat yang berpendapatan tinggi setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Pekarangan Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, kompaun itu dikenakan terhadap syarikat dan bukan individu, justeru perbandingan dengan kes lain membabitkan individu seperti Harith Iskandar dan Cecilia Yap tidak relevan.
“MCMC tidak menggantung lesen MBSB selepas menerima penjelasan syarikat berkenaan serta langkah pembetulan yang sudah diambil bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“MBSB juga boleh memanfaatkan mekanisme tribunal rayuan sekiranya mereka tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan atau berhubung terus dengan MCMC,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai individu yang memuat naik semula kandungan yang sudah diturunkan, beliau memaklumkan bahawa MCMC sedang menyiasat perkara itu sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Saya juga lihat beberapa individu sudah memohon maaf, termasuk seorang individu yang sekarang ini dipercayai berada di Australia yang memuat naik satu kandungan yang mengguris hati orang Islam.
“Beliau sudah memohon maaf dan beberapa perkara yang saya harap boleh menjadi asbab untuk kita memperbaiki diri kita sendiri dan percaya kita boleh langkah ke depan dalam satu suasana yang positif terutama bagi kita umat Islam dalam bulan Ramadan yang penuh barakah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut menggesa semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan bagi mengelakkan sebarang isu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
“Saya cukup terharu melihat pelbagai pihak mengingatkan kita bahawa Malaysia kaya dengan kepelbagaian budaya dan kaum. Kita perlu mempertahankan perbezaan ini dengan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut memaklumkan bahawa tindakan susulan terhadap mana-mana individu yang memuat naik semula kandungan yang sudah dipadam akan bergantung kepada hasil siasatan pihak MCMC.
“Jika platform seperti Facebook (Meta Platform Inc) menurunkan kandungan kerana melanggar garis panduan komuniti dan undang-undang, maka tindakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan MCMC dan saya masih menunggu taklimat penuh berhubung perkara terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd