Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi di Istanbul

Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi di Istanbul

Putrajaya: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 6.2 yang melanda Istanbul, Turkiye, pada Rabu, menurut Kementerian Luar.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata pihaknya sedang memantau rapat situasi berikutan gempa yang berlaku pada 12.49 tengah hari waktu tempatan di Laut Marmara berhampiran Daerah Silivri, Istanbul.

Melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Wisma Putra juga mengekalkan perhubungan rapat dengan rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia di Turkiye supaya berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

Untuk bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul yang terletak di Polat Plaza, Sisli melalui talian +90-212 989 10 01 (waktu bekerja) atau WhatsApp +90 531 716 05 51 (luar waktu bekerja), atau e-mel ke mwistanbul@kln.gov.my.

Wisma Putra akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan maklumat terkini jika perlu, menurut kenyataan itu.

Gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 menggegarkan Turkiye pada Rabu dengan pusat gempa terletak di Daerah Silivri, Istanbul, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Gegaran pada 12.49 tengah hari waktu tempatan (0949 GMT) itu turut dirasai dengan kuat di seluruh Istanbul dan wilayah berdekatan, menyebabkan penduduk panik dan meninggalkan bangunan.

Satu lagi gegaran susulan bermagnitud 4.9 direkodkan pada 1.02 tengah hari (1002 GMT), dengan pusatnya di luar pesisir Buyukcekmece di Laut Marmara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top