Tiada pasar tani Ramadan di Kelantan tahun ini

Tiada pasar tani Ramadan di Kelantan tahun ini

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Tiada pasar tani Ramadan akan dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan dengan kerjasama Perbadanan Stadium Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu, tahun ini.

Pengarah Fama negeri, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, keputusan penamatan itu diambil selepas mengambil kira keperluan untuk menumpukan sepenuhnya sumber dan tenaga kerja kepada pelaksanaan program strategik lain yang lebih mendesak.

Katanya, langkah itu sejajar komitmen Fama untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan program yang dapat memberikan impak jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan termasuk petani, usahawan tani, dan pengguna.

“Keputusan ini juga dibuat berdasarkan analisis keutamaan terhadap sumber logistik, tenaga kerja dan sumber peruntukan yang perlu disalurkan kepada program strategik seperti pengukuhan sekuriti makanan negara, bagi memastikan kestabilan bekalan makanan menjelang musim perayaan.

“Selain itu, peningkatan rantaian nilai pemasaran pertanian iaitu projek pembangunan yang bertujuan untuk memperkukuh saluran pemasaran produk pertanian.

“Seterusnya pengembangan agropreneur baharu iaitu latihan intensif dan sokongan kepada usahawan muda bagi memacu pembangunan sektor pertanian tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Fama menghargai sokongan dan pembabitan usahawan selama ini dan memberi jaminan langkah alternatif dalam promosi produk tani secara dalam talian, pasar tani harian dan mingguan yang akan terus beroperasi seperti biasa.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul akibat keputusan ini. Sehingga hari ini tiada sebarang surat tawaran menjalankan perniagaan Pasar Tani Ramadan Tahun 2025 dikeluarkan dan Fama uga tidak pernah membuat kutipan atau melantik wakil bagi program ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top