am@hmetro.com.my
Parit Buntar: Pemergian Rosdi Sabli, 35, pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) yang ditemukan maut di dalam parit, semalam, meninggalkan kesan besar kepada penduduk dan kariah Surau Badariah, Parit Abas, Kuala Kurau.
Ini kerana Rosdi antara jemaah yang sering hadir ke surau hampir setiap waktu dan sering menghiburkan penduduk dengan tingkah lakunya.
Penduduk, Anuar Rosli, 38, berkata, Rosdi sentiasa bersongkok, tersenyum dan sering membantu masyarakat apabila terdapat majlis di surau atau di kampung.
Menurutnya, Allahyarham sering menegur penduduk dengan bahasa isyarat dan kenangan bergurau kekal terngiang dalam ingatan penduduk.
“Biarpun dia berstatus OKU, namun dia sentiasa tersenyum dan mudah bergaul dengan masyarakat biarpun hanya dengan berbahasa isyarat.
“Walaupun ramai yang faham apa yang arwah ingin sampaikan namun telatahnya sering menghiburkan hati.
“Paling terkesan adalah rakannya iaitu adik saya, Halil Rosli, 30, yang juga berstatus OKU (sindrom Down) serta kariah surau yang mana kehilangan Rosdi ibarat ketiadaan seorang makmum ‘wajib’ apabila tiba waktu solat berjemaah,” katanya ditemui media selepas selesai pengebumian petang tadi.
Jenazah disembahyangkan di Masjid Parit Tok Hin pada jam 2.30 petang dan kira-kira 200 penduduk menyertai solat jenazah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan masjid berkenaan.
Semalam media melaporkan misteri lampu berkelip-kelip di dalam parit di Parit Abas, Kuala Kurau, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang.
Mayat Rosdi ditemukan penduduk jam 8 malam bersama motosikalnya di dalam parit selepas tidak pulang ke rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd