Tiada lagi dendam, marah dengan penerbit Mat Kilau – Adi Putra

Tiada lagi dendam, marah dengan penerbit Mat Kilau – Adi Putra

KUALA LUMPUR – Hero filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Datuk Adi Putra mengakui sudah bertemu dan bertentang mata dengan penerbit filem itu, Studio Kembara Sdn. Bhd di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Adi, 41, berkata, dia bersikap profesional ketika pertemuan itu dan tidak lagi menyimpan perasaan marah atau dendam.

Pemilik nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim berkata, dia menganggap isu dengan Kembara Studios sudah selesai dan enggan terus memanjangkan masalah yang timbul sebelum ini

“Pihak saya memang sudah tiada sebarang masalah tetapi tidak tahu pula di mereka sebelah sana. Dalam ukhwah bersaudara, saya sentiasa bersilaturahim.

“Saya lebih senang ambil sikap forgive and forget. Hidup kena ke depan, tak perlu nak ambil sebarang tindakan untuk membalas semula.

“Saya tidak mahu menoleh apa yang telah terjadi kerana ia boleh beri kesan negatif,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, menerusi Instagram miliknya, Adi meluahkan rasa kesal terhadap pihak Kembara Studios yang gagal dihubungi sehingga pelakon itu mengambil keputusan untuk tidak menyertai rombongan promosi filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia pada 26 Ogos lalu.

Sesi bergambar bersama Pengasas bersama, Datuk Mohamed Hadi Putera ketika berucap pada Majlis Pelancaran Produk Armani di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 OGOS 2022.

Bagaimanapun atas jemputan rakan baik dan wakil pengedar filem itu di Jakarta, Adi berangkat ke Indonesia bersama pelakon Johan As’ari menggunakan wang sendiri.

Dalam pada itu, Adi berkata, ada berjumpa dengan wakil Studio Kembara ketika majlis tayangan perdana filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada 26 Ogos lalu.

Adi menambah, komunikasi sangat penting bagi mengelak sebarang salah faham di antara dua pihak.

Apa pun jelasnya, masalah yang berlaku juga tidak membuatkan dia berasa serik untuk bekerjasama dengan pihak Kembara Studios dan sedia mempertimbangkan sekiranya ditawarkan pengarah dan skrip yang baik.

“Dalam hidup ini komunikasi sangat penting. Kalau perkara itu tiada, ibaratnya seperti telefon tanpa talian.

“Saya masih terbuka untuk bekerjasama dengan mereka. Bagaimanapun ia bergantung kepada skrip dan pengarahnya. Semua orang tahu saya  seorang yang sangat cerewet memilih tawaran berlakon,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top