Tiada kes tembakan, rompakan kedai emas

Tiada kes tembakan, rompakan kedai emas

SEGAMAT: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menafikan laporan ada memberi amaran berhubung kehadiran beberapa individu yang merompak dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api di sebuah kedai emas di Labis, Segamat, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya berjaya mengesan laporan yang tular di media sosial melalui aplikasi WhatsApp sejak pagi semalam.

“Laporan palsu yang tular di media sosial sejak semalam itu turut memaparkan yang kononnya kejadian terbabit berlaku di Labis.

“Laporan berkenaan turut memaklumkan terdapat beberapa lelaki melakukan rompakan menggunakan senjata api.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati maklumat tular itu tidak benar dan tiada sebarang rompakan atau tembakan berlaku yang dilaporkan kepada pihak polis.

“Pihak IPD Segamat tidak pernah mengeluarkan kenyataan amaran mengenai kejadian terbabit,” katanya ketika di temui di IPD Segamat, hari ini.

Tambah Ahmad Zamry, hasil siasatan lanjut juga mendapati laporan terbabit pernah tular pada 2022 namun berlaku di Thailand.

Sehubungan itu, adalah penting untuk setiap pengguna melakukan penyelidikan terhadap sebarang maklumat yang diterima mereka menerusi media sosial.

“Buat selidik dan kaji terlebih dahulu jika perkongsian membabitkan rantaian maklumat dan pastikan kesahihannya supaya jangan disebarkan maklumat tidak benar.

“Ini kerana bahan-bahan berbentuk spekulasi, tuduhan dan penghinaan juga boleh memberi impak dan kesan besar kepada ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top