KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan, sekiranya benar pengecualian cukai terhadap Yayasan AlBukhary tidak pernah dibatalkan, maka tiada keperluan untuk organisasi tersebut mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kewangan pada 2021.
Namun, Muhyiddin menyatakan beliau membuat inferens (tanggapan) berhubung pembatalan pengecualian cukai itu berdasarkan surat yang dilihatnya semasa menjawat jawatan Perdana Menteri dan ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
“Apabila Defendan (Muhyiddin) menjadi Perdana Menteri pada ketika itu, beliau telah menerima surat daripada Tan Sri Syed Mokhtar kepada Pejabat Perdana Menteri Malaysia merayu terhadap keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri yang tidak mengiktiraf pengecualian cukai serta keputusan untuk mengenakan penalti;
“Defendan, yang bukan Menteri Kewangan dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri, telah merujuk perkara ini kepada Menteri Kewangan untuk pertimbangan beliau. Menteri Kewangan pada masa tersebut, Tengku Zafrul bin Abdul Aziz telah membenarkan rayuan tersebut.
“Oleh itu, defendan dibenarkan membuat inferens dan kesimpulan bahawa pengecualian cukai telah dibatalkan, jikalau tidak, ia (Yayasan AlBukhary) tidak perlu untuk membuat rayuan ataupun untuk kelulusan diberikan oleh Kementerian Kewangan Malaysia pada tahun 2021,”katanya.
Justifikasi tersebut diberikan Muhyiddin dalam penyataan pembelaannya bagi menjawab samab fitnah yang difailkan oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadapnya.
Pada 27 Mac lalu, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai yang diluluskan kepada yayasan tersebut.
Dalam pernyataan tuntutannya, Guan Eng, 62, berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dalam laman Facebook miliknya pada hari yang sama Ahli Parlimen Pagoh dibebaskan oleh SPRM selepas siasatan selesai dijalankan pada 9 Mac lalu.
Dakwa Guan Eng selaku plaintif, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau selaku Menteri Kewangan (ketika itu) telah membatalkan pengecualian cukai yang diluluskan kepada yayasan berkenaan.
Plaintif mendakwa, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan, walhal ia tidak patut dikenakan cukai.
Dakwa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, kenyataan Muhyiddin membawa maksud beliau sengaja mensabotaj yayasan kebajikan itu yang terlibat dalam pelbagai kerja amal.
Sehubungan itu, plaintif turut memohon Muhyiddin memohon maaf dan menarik balik kesemua tiga kenyataan fitnah itu manakala pernyataan maaf diterbitkan dalam akaun Facebook dan Twitter defendan.
Plaintif turut memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan punitif serta injunksi menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan atau menerbitkan kenyataan fitnah. – UTUSAN