Tiada kahwin rahsia

Tiada kahwin rahsia

najiy.jefri@hmetro.com.my

DALAM dunia seni, kisah peribadi selebriti sering menjadi perhatian, termasuk soal jodoh dan perkahwinan.

Bagi penyanyi popular, Siti Nordiana, statusnya sebagai ibu tunggal sejak sekian lama menjadikan namanya tidak lekang daripada pelbagai spekulasi.

Masakan tidak, setiap kali muncul di khalayak, pasti ada yang bertanya bila dia kembali berumah tangga, satu persoalan yang sudah lali didengarnya.

Sebagai figura yang sentiasa tenang menghadapi gosip, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana tidak menafikan jodoh adalah perkara di luar kawalan manusia.

Menjengah usia 41 tahun, dia lebih selesa menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Allah SWT dan menikmati kehidupan bersama anak tersayang.

Bagaimanapun, baru-baru ini timbul khabar angin mendakwa dirinya kembali bergelar isteri kepada individu yang turut sama terbabit dalam dunia seni.

Terkejut mendengar dakwaan kononnya dia mendirikan rumah tangga secara rahsia, Nana tampil menjelaskan situasi sebenar.

“Saya terkejut apabila membaca artikel mengenai perkara itu. Saya pun tak tahu-menahu dari mana cerita ini datang. Berita itu tidak sahih.

“Apa pun, saya berterima kasih kepada mereka yang mendoakan yang baik-baik untuk jodoh saya. Kita serahkan saja kepada Allah SWT.

“Hati saya tidak pernah tertutup untuk kembali mendirikan rumah tangga, Insya-Allah,” katanya.

Nana berkata, dia tidak pasti dari mana datang khabar angin itu, namun dia beranggapan ia mungkin tercetus kerana statusnya sebagai ibu tunggal sejak sekian lama.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana spekulasi ini boleh timbul. Mungkin sebab saya sudah lama hidup sendiri.

“Biasalah, kalau seseorang itu sudah lama solo, pasti menjadi sasaran gosip. Sebelum ini pun, saya pernah dikaitkan dengan beberapa artis lelaki. Malah, ramai kenalan sering berseloroh dan bertanya, ‘bila nak umumkan sudah berkahwin?'” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia berkecil hati apabila sering diajukan soalan mengenai pasangan hidup, penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran itu mengakui sudah terbiasa dengan perkara terbabit.

“Soalan seperti ini sudah lama saya terima. Ramai yang bertanya mengenai perkahwinan, tetapi saya tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang sensitif.

“Cuma apa yang membuatkan saya hairan adalah terlalu banyak dakwaan yang mengatakan saya sudah berkahwin. Apa yang boleh saya jelaskan, setakat ini ia tidak benar.

“Buat masa ini, fokus saya hanya kepada anak. Dalam usia 40-an ini, saya lebih memberi perhatian kepada usaha memperbaiki diri menjadi insan lebih baik.

“Alhamdulillah, saya bahagia menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal kerana sudah terbiasa dengan rutin ini. Lagipun, sudah bertahun-tahun saya membawa status ini,” katanya.

Selain itu, Nana turut memaklumkan bahawa anak lelakinya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 17, juga tidak pernah bertanya bapa baharu dalam hidup mereka.

“Anak saya seorang yang tidak ambil kisah mengenai perkara ini dan dia pun tidak pernah bertanya apa-apa mengenai ‘masalah’ ibunya.

“Rayyan sudah meningkat remaja dan saya percaya apabila tiba masa, dia pasti bersikap terbuka jika saya mahu berbincang mengenai hal ini,” katanya.

Nana pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Allahyarham Faizal Yusof pada April 2006 dan dikurniakan seorang anak lelaki. Namun, perkahwinan mereka berakhir perpisahan pada 2009.

Dalam perkembangan lain, Nana baru saja melancarkan lagu raya solo pertama berjudul Hari Lebaran.

Lagu ciptaan Nana bersama Dian Rasid itu sudah pun menerima lebih 100,000 tontonan di YouTube selepas seminggu dimuat naik.

“Hari Lebaran adalah lagu raya solo pertama saya. Jadi, saya ambil peluang ini untuk menghasilkan sendiri muzik video single ini.

“Saya nekad hasilkan lagu raya solo ini kerana nak bawakan kembali muzik raya era 90-an. Lebih istimewa muzik video Hari Lebaran menampilkan anak tunggal saya sebagai pelakon.

“Tak mudah sebenarnya nak pujuk dia untuk turut sama dalam muzik video ini, tapi adalah saya berikan sedikit ganjaran untuk dia sedikit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top