Tiada jalan untuk larikan diri – Amorim

Tiada jalan untuk larikan diri – Amorim

London: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, menegaskan bahawa tiada jalan untuk melarikan diri daripada masalah yang dihadapi kelab itu selepas mereka tewas 0-1 di tangan Tottenham Hotspur awal pagi tadi – kekalahan ke-12 dalam 25 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Pengurus Portugal itu kini tewas lapan daripada 14 perlawanan liga yang dikendalikannya dengan United kini berada di tangga ke-15 dalam liga.

Sejak 1973-74, United belum pernah tewas 12 daripada 25 perlawanan pertama mereka dalam liga utama dan walaupun mereka kelihatan cukup jauh dari tiga pasukan tercorot untuk mengelakkan nasib daripada turun divisyen, suasana suram semakin menebal di Old Trafford.

“Apa yang anda lihat dan apa yang anda bincangkan setiap minggu, saya juga melihatnya.

“Saya menghadapi banyak masalah, pekerjaan saya di sini sangat-sangat sukar. Tetapi saya tetap dengan kepercayaan saya.

“Kita berkembang dan belajar banyak perkara. Kami hanya perlu menghadapi keadaan ini dan tidak melarikan diri, itu perasaan saya. Hari ini menyakitkan, ia adalah kesakitan yang sukar bila kalah begitu banyak perlawanan, tetapi kemudian anda boleh mengubah keadaan dalam seminggu,” kata Amorim.

Masalah semakin bertambah untuk Amorim yang mengalami tamparan besar dengan kecederaan pemain serba boleh, Amad Diallo, yang menjadi satu-satunya pemain yang menyinar musim ini namun kini terpaksa berehat panjang.

Kesebelasan utama United di Tottenham kurang berkualiti dengan pemain seperti Kobbie Mainoo dan Manuel Ugarte turut tidak dapat beraksi kerana kecederaan, sementara bangku simpanan hanya terdiri daripada lapan pemain berusia 19 tahun atau lebih muda.

Daripadanya, hanya Chido Obi diberi peluang bermain seketika, masuk pada minit ke-90 untuk menggantikan Casemiro yang semakin keletihan.

“Kami mempunyai pemain muda dan kami perlu bekerja dengan mereka. Kami tidak menjangkakan begitu banyak kecederaan dalam satu minggu. Perkara ini berlaku. Mari fokus pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Walaupun kecederaan dan hakikat bahawa United gagal memperkukuhkan skuad mereka dalam jendela perpindahan Januari lalu yang boleh dijadikan alasan bagi kegagalan Amorim untuk mengubah nasib United, pertahanan Matthijs de Ligt berkata tiada alasan yang boleh diterima.

“Kami masih mempunyai sebelas pemain utama. Itu bukan alasan. Tak bagus apabila anda kehilangan lima pemain dalam seminggu, tetapi itu adalah sebahagian daripada bola sepak, sebahagian daripada kehidupan,” katanya.

“Saya percaya anda perlu layak mendapat tuah. Pada masa ini, nampaknya kami tidak layak. Saya tidak percaya tuah datang begitu sahaja.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top