London: Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou, mengakui pasukannya yang dibelenggu masalah kecederaan tiada penyelesaian mudah selepas kekalahan memalukan 3-6 di laman sendiri kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.
Sekali lagi, Tottenham menjadi sumber hiburan tinggi dalam liga, tetapi itu tidak memberi sebarang kelegaan kepada penyokong yang terpaksa melihat pasukan mereka melepaskan sembilan gol dalam dua perlawanan liga terakhir di tempat sendiri.
Spurs turut mempamerkan aksi kacau-bilau dalam kemenangan 4-3 ke atas Manchester United dalam saingan Piala Liga minggu lalu, selepas itu Postecoglou mempertahankan taktikalnya daripada kritikan sesetengah penganalisis.
Hakikatnya, jurang tiga gol tidak menggambarkan sepenuhnya perbezaan ketara antara Tottenham dan Liverpool.
Namun, Postecoglou tetap mempertahankan pasukannya dalam temubual selepas perlawanan yang bernada tegas.
Ketika ditanya sama ada terdapat faktor lain selain senarai kecederaan panjang yang menyebabkan Spurs terperosok di tangga ke-11 menjelang Krismas, Postecoglou kelihatan hampir hilang sabar.
Tottenham terpaksa turun tanpa penjaga gol utama Guglielmo Vicario, dua pertahanan tengah Micky van de Ven dan Cristian Romero, pertahanan kiri Ben Davies dan Destiny Udogie, serta penyerang Richarlison.
“Anda tahu apa? Saya akan berhenti menjawab soalan-soalan seperti ini,” katanya kepada BBC Sport.
“Jika orang tidak dapat melihat perkara yang jelas, saya tidak akan menunjukkannya. Tengok, tafsirkan apa yang anda mahu, iya kami bolos banyak gol.
“Jika anda mahu abaikan fakta bahawa kami kehilangan penjaga gol, dua pertahanan tengah dan seorang petahanan kiri, serta bagaimana ia mempengaruhi apa yang kami lakukan … saya tidak tahu apa lagi yang hendak saya katakan.”
Menurut Opta, perlawanan EPL di bawah kendalian Postecoglou mencatat purata 3.6 gol setiap perlawanan, rekod tertinggi untuk mana-mana pengurus yang sudah mengendalikan sekurang-kurangnya 50 perlawanan dalam liga berkenaan.
Walaupun peminat Spurs masih menyanyikan namanya, ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial dan rancangan bual bicara radio, mengkritik Postecoglou kerana kelemahan pasukan yang mudah goyah.
Beberapa pihak kini mendakwa Postecoglou lebih mementingkan gaya permainan berbanding keputusan di atas padang.
Namun, beliau terus bertegas bahawa pasukannya sedang berdepan cabaran besar akibat kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd