Baitulmuqaddis: Israel menegaskan pendiriannya untuk terus menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, meskipun amaran antarabangsa bahawa wilayah itu kini berada di ambang bencana kemanusiaan paling buruk sejak perang meletus pada Oktober 2023.
Tindakan itu, yang dilihat sebagai sebahagian daripada tekanan ketenteraan terhadap Hamas, sehingga menyebabkan rakyat Palestin dan pasukan bantuan terperangkap dalam keadaan yang digambarkan sebagai ‘kubur besar’, menurut badan perubatan antarabangsa, Doctors Without Borders (MSF).
Israel menyambung semula serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac, menamatkan gencatan senjata dua bulan dengan Hamas yang sebelum ini hampir menghentikan permusuhan di wilayah itu.
Israel sudah pun menghentikan kemasukan bantuan ke Gaza sejak 2 Mac, memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang teruk di wilayah yang dilanda peperangan itu.
Badan amal perubatan, MSF berkata operasi ketenteraan Israel dan sekatan bantuan menjadikan Gaza sebagai tanah perkuburan bagi rakyat Palestin dan para pekerja bantuan.
“Gaza menjadi kubur besar bagi rakyat Palestin dan mereka yang datang untuk membantu,” kata penyelaras MSF, Amande Bazerolle.
“Dengan tiada tempat selamat bagi rakyat Palestin mahupun mereka yang cuba membantu, tindak balas kemanusiaan kini bergelut teruk akibat ketidakamanan dan kekurangan bekalan kritikal, menyebabkan orang ramai hampir tiada pilihan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran pada Isnin bahawa Gaza kini menghadapi krisis kemanusiaan paling buruk sejak perang bermula pada Oktober 2023.
“Situasi kemanusiaan kini mungkin yang paling teruk sejak 18 bulan lalu sejak permusuhan tercetus,” kata Pejabat PBB untuk Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Dalam satu kenyataan, OCHA berkata tiada sebarang bekalan berjaya dibawa masuk ke wilayah itu sejak sebulan setengah lalu, dan bekalan perubatan, bahan api, air serta keperluan lain kini semakin kehabisan.
Israel mengawal sepenuhnya kemasukan semua bantuan dan bekalan ke Gaza.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, negaranya akan terus menghalang bantuan daripada memasuki wilayah yang dikepung itu, yang menempatkan 2.4 juta penduduk.
“Dasar Israel adalah jelas: tiada bantuan kemanusiaan akan masuk ke Gaza, dan sekatan ke atas bantuan ini adalah antara kaedah utama untuk menekan Hamas supaya tidak menggunakannya sebagai alat terhadap penduduk,” kata Katz dalam satu kenyataan pada Rabu.
“Buat masa ini, tiada perancangan untuk membenarkan sebarang bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza, dan tiada persediaan sedang dibuat untuk membolehkan bantuan tersebut.”
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pula berkata, tekanan ketenteraan adalah satu-satunya cara untuk memastikan pembebasan 58 tebusan yang kini ditahan di Gaza.
“Hamas akan terus menerima tamparan demi tamparan. Kami bertegas agar mereka membebaskan tebusan kami, dan kami bertegas untuk mencapai semua matlamat perang kami,” kata Netanyahu kepada tentera di utara Gaza pada Selasa.
Kementerian Luar Palestin yang berpusat di Ramallah mengecam lawatan Netanyahu ke Gaza itu, menyifatkannya sebagai “pencerobohan provokatif yang bertujuan memanjangkan dan mengintensifkan jenayah genosid dan pengusiran paksa” terhadap penduduk Gaza.
Pada 28 April nanti, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan membuka prosiding untuk meneliti tanggungjawab kemanusiaan Israel terhadap rakyat Palestin.
Perhimpunan Agung PBB sebelum ini meluluskan satu resolusi pada Disember bagi meminta mahkamah tertinggi yang berpangkalan di The Hague itu memberikan pendapat penasihat mengenai perkara ini.
Resolusi itu menggesa ICJ menjelaskan apa yang perlu dilakukan oleh Israel untuk “memastikan dan memudahkan penyediaan bantuan penting yang tidak dihalang kepada penduduk awam Palestin yang sangat memerlukannya.”
Walaupun keputusan ICJ mengikat secara undang-undang, mahkamah itu tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakannya secara langsung.
Israel meneruskan serangan ke atas Gaza pada Rabu.
Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam serangan udara, 10 daripadanya dalam satu serangan ke atas Bandar Gaza, kata agensi pertahanan awam.
Serangan baharu ini setakat ini telah meragut sekurang-kurangnya 1,652 nyawa di Gaza, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang diperintah Hamas, menjadikan jumlah kematian sejak perang meletus pada Oktober 2023 meningkat kepada 51,025 – kebanyakannya orang awam.
Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 telah mengorbankan 1,218 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
**bur-jd/acc/jsa**
© New Straits Times Press (M) Bhd