PETALING JAYA: Kerajaan digesa untuk mencari kesanggupan politik (political will) supaya Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakukan Polis (IPCC) 2022 dapat dibentang.
Ahli Parlimen Ipoh Barat dari DAP, M. Kulasegaran berkata, tiada alasan lagi untuk kerajaan menangguhkan pembentangan rang undang-undang tersebut melihat kepada banyak kes salah laku melibatkan pihak polis, menjadikan penggubalan IPCC penting pada masa kini.
Bagaimanapun, beliau percaya 99 peratus pasukan polis telah melakukan tugas mereka dengan tekun dan cekap.
“Semua rakyat Malaysia mesti boleh mempercayai seluruh pasukan polis. Kita bagaimanapun tidak boleh mempunyai seorang pun anggota polis bertindak tidak tertib kerana tugas mereka lakukan dalam masyarakat.
“Kita telah melihat begitu banyak kes salah laku polis yang menjadikan rang undang-undang ini penting, namun kerajaan tidak mempunyai keinginan membahaskannya.
“Rang undang-undang mesti kuat. Cukup kuat untuk berfungsi sebagai semak dan imbang kepada pasukan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memetik rekod daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), terdapat sekurang-kurangnya 34 kematian dalam tahanan pihak polis pada tahun 2020, manakala laporan baru-baru ini, untuk tahun ini menunjukkan sekurang-kurangnya 13 kematian dalam tahun ini.
Justeru, katanya, kritikan oleh Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) mesti diakui, yang menggesa kerajaan menambah baik rang undang-undang itu.
“Perlu ada perundingan sewajarnya dengan Pakatan Harapan (PH) supaya rang undang-undang yang akhirnya diluluskan merangkumi ciri-ciri betul, bukan sekadar nasihat dan di bawah kawalan eksekutif,” katanya.
Pada Khamis lalu, Kulasegaran menyuarakan rasa tidak puas hati apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin menangguhkan sekali lagi pembentangan IPCC.
RUU berkenaan sepatutnya dibacakan buat kali kedua, bagaimanapun, kerajaan menangguhkan pembentangannya pada persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.
RUU IPCC bertujuan menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dibawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, ia disifatkan sebagai lemah berbanding IPCMC kerana salah satu perbezaan utamanya adalah badan dicadangkan kerajaan sekarang tidak boleh mengambil tindakan terhadap anggota polis yang membuat salah laku. – UTUSAN