Thrash metal jadi merdu

Thrash metal jadi merdu

riadz@hmetro.com.my

DALAM banyak-banyak undangan konsert tahun ini, Soulfest 2024 anjuran Stagemaker Sdn Bhd di Studio Mantin, Negeri Sembilan, baru-baru ini yang menampilkan band thrash metal, Cromok membuat persembahan unplugged atau akustik adalah paling menarik bagi saya.

Di barat, mungkin ini agak biasa apabila band thrash metal seperti Megadeth pernah mengadakan persembahan akustik.

Bagaimanapun, di Malaysia saya rasa ini agak asing untuk band thrash metal. Bayangkan Cromok yang lagu-lagunya sejak album pertama, Image Of Purity pada 1991 memang berat, terutama vokal ‘growling’ daripada Sam dimainkan secara akustik.

Awalnya sukar nak dibayangkan. Bagaimana susunan muzik mereka nanti? Sesuaikah vokal ‘growling’ Sam dengan muzik akustik?

Namun, apabila menontonnya sendiri pada malam itu, saya rasa Cromok memang band yang bijak.

Cromok bijak memanipulasi muzik mereka, mengadunkan dengan bunyian akustik hingga membuatkan lagu yang asalnya bingit dengan thrash metal menjadi merdu, enak dan segar.

Ada ketikanya terasa seperti muzik mereka berbunyi lagu asli, keroncong dan folk rock.

Selain Sam sebagai penyanyi dan pemain bass, Cromok yang kini dianggotai Karl (gitar), Shah (gitar) dan Apis Cropox (dram) menggunakan segala pengalaman mereka pada malam itu.

Selain itu, Cromok turut membawa pembaharuan dalam persembahan live mereka apabila menampilkan pemain keyboard, Acher.

“Bermain akustik ini menguji keupayaan seseorang pemuzik. Muzik kami ‘distorted’ (berat) dan sebagai pemain gitar, ia mudah. Tapi, bila main akustik, kita tak boleh tipu. Ia lebih kepada ‘sound’ yang semula jadi.

“Tak semua pemuzik boleh bermain akustik dengan sedap. Kami memang kena banyak berlatih. Jari-jari pun tak biasa sebab bila main gitar elektrik, ia lebih mudah. Petik sikit bunyi dah kuat, tapi kalau akustik bila salah, orang boleh dengar dan nampak,” kata Karl sebelum persembahan.

Menurut Karl, cabarannya ialah untuk memastikan apa yang mereka mainkan itu sedap.

“Peminat dah biasa dengar muzik Cromok itu berat. Jadi, macam mana kami nak buat muzik akustik, tapi boleh rasa ‘berat’ muzik Cromok itu dan ia boleh diterima peminat,” katanya.

Pada malam itu, Cromok memainkan enam lagu iaitu Another You, Misery, Punishment Hour, Little One, Farewell, I Don’t Belong Here dan Journey. Semuanya dipetik daripada tiga album terawal mereka iaitu Image Of Purity, Forever In Time dan Yours Truly.

Menurut Shah, susunan dan gubahan muzik ketujuh-tujuh lagu itu banyak ditukar dan mereka banyak bereksperimentasi.

Mereka juga perlu berlatih dua kali ganda daripada biasa dengan gubahan muzik yang baru itu.

“Memang mencabar. Kami bukan pemuzik yang mahir membaca nota muzik. Jadi, semuanya berdasarkan penjiwaan dan hafalan. Ingatan kena kuat,” katanya.

Kerja keras Cromok dalam latihan nampaknya berbaloi. Mereka berjaya menyalurkan penjiwaan dan permainan muzik akustik yang mantap.

Bukan mudah untuk ‘menukar’ lagu thrash metal menjadi akustik yang sedap. Dan, Cromok berjaya melakukannya.

Pada saya, kelebihan Cromok ialah kerana muzik mereka berbeza berbanding band thrash metal lain. Walaupun berat, vokal growling dan mendatar, tetapi muzik mereka bermelodi. Lebih menarik, ia ada unsur kemelayuan.

Bak kata Karl dalam temu bual bersama sebuah majalah satu ketika dulu, “Lirik itu bagi kami hanya sebagai ‘guide’. Vokal kami ‘straight’ saja, boleh dengar arghh, arghhh saja. Bukan vokal tak penting, tapi kami lebih pentingkan ‘sound’ dan ‘feel’ yang berat dan tentunya muzik yang bermelodi. Itu identiti Cromok. Lagu Cromok kalau dikeluarkan bahagian vokal pun, orang masih boleh dengar, layan dan seronok sebab melodinya,” katanya.

Yang pasti, Cromok kena tampil dengan konsert unplugged berskala besar selepas ini. Pasti ramai yang puas!

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top