sukan@hmetro.com.my
Seremban: Khidmat penyerang sensasi Ifedayo Olusegun dijangka tidak akan dapat dimanfaatkan skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC ketika menentang Sri Pahang FC (SPFC) dalam saingan Liga Super, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), malam esok.
Penolong jurulatih PDRM FC yang kini mengendalikan sepenuhnya latihan pasukan itu, Eddy Gapil mengesahkan situasi pemain import terbabit, namun beliau tidak bimbang kerana terdapat pemain lain yang boleh menggalas tugas di posisi berkenaan.
“Setakat ini hanya Ifedayo tidak dapat diturunkan kerana kurang cergas, tapi persiapan kita untuk menentang Sri Pahang tetap berjalan lancar, malah beberapa pemain lain seperti Bruno Suzuki dan Muhammad Hadi Fayyadh (Abdul Razak), sudah sedia dan mampu menggalas tugas di posisi utama itu.
“Selain itu, Chidi Osuchukwu juga sudah mula menjalani latihan sejak beberapa hari lalu. Apapun kita akan menurunkan barisan terbaik untuk memastikan persembahan pasukan pada tahap yang terbaik,” kata Eddy ketika dihubungi, hari ini.
Eddy jelas mahukan skuad bimbingannya bangkit mencipta kemenangan pada perlawanan esok selepas pasukan itu mengalami enam kekalahan berturut-turut sebelum ini termasuk terlepas Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Bagi pengendali itu, sudah tiba masanya skuad Sang Saka Biru membina semula kekuatan dan mencatatkan kemenangan bagi memastikan kedudukan di tempat kelapan carta ketika ini tidak terjejas selain memasitkan mendapatkan kedudukan lebih baik daripada itu.
Mengulas lanjut mengenai cabaran menentang Sri Pahang, Addy menggesa anak buahnya berhati-hati dengan strategi pengendali pasukan itu, Fandi Ahmad, kerana ia boleh menjejaskan misi mereka untuk mendapatkan tiga mata dari laman sendiri.
Menurutnya, Pahang berupaya melakukan sesuatu yang di luar dugaan dan jika tidak berwaspada sudah pasti akan memberi kesan kepada keputusan perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd