
Surachate pernah digantung tugas sebelum ini sementara siasatan dijalankan ke atasnya. Foto Agensi
BANGKOK – Thailand memecat salah seorang pegawai polis berprofil tinggi atas dakwaan terbabit dengan perjudian haram dan kes penipuan wang.
Surachate Hakparn yang berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis disingkirkan secara rasmi pada Selasa selaras dengan prosedur tatatertib bagi mana-mana pegawai yang berada di bawah siasatan.
Beliau yang terkenal dengan julukan ‘big joke’ terkantoi ketika siri serbuan menyasarkan rangkaian perjudian dalam talian haram, Betflix pada 2023.
Surachate didakwa terlibat dengan pengubahan wang haram, namun dinafikan beliau.
Tuduhan itu menyebabkannya digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Di bawah undang-undang negara itu, apa jua bentuk pertaruhan dianggap sebagai aktiviti haram malah pihak berkuasa juga sedang berusaha untuk menutup sarang perjudian dan laman web berkaitan yang dimiliki warga asing.
Sebelum ini, Surachate sering dikaitkan dengan tokoh berkuasa dalam kerajaan bersekutu tentera dan pernah dilantik sebagai Ketua Biro Imigresen pada September 2018.
Beliau menghilangkan diri pada 2019 tanpa sebab tidak jelas sebelum bekas Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha melantiknya sebagai penasihat khas strategi polis pada 2021.
Difahamkan, Surachate mempunyai tempoh selama 30 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap pemecatannya.
Pada bulan lalu, Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra menggesa Polis Diraja Thailand supaya meningkatkan usaha untuk memerangi sindiket pemerdagangan manusia dan jenayah berkaitan narkotik. – AFP