
BANGKOK: Thailand akan mengurangkan tempoh kuarantin wajib bagi pelancong dari dua minggu kepada 10 hari mulai 1 April, dan mungkin mengecualikannya untuk pelancong dari negara berisiko rendah mulai 1 Oktober.
Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha, yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) hari ini, bersetuju dengan langkah itu.
Jurucakap CCSA, Thaweesilp Wissanuyothin berkata Thailand akan memendekkan tempoh kuarantin untuk pelancong yang sudah divaksin kepada tujuh hari selepas negara bersedia. Namun, beliau tidak memberikan tempoh masa.
Pelancong yang sudah divaksin, katanya mereka perlu menerimanya dalam masa tiga bulan sebelum melakukan perjalanan dan menunjukkan sijil sebagai bukti.
“Pelancong dengan sijil vaksinasi (VC) dan sijil bebas Covid-19 (CFC) akan menjalani kuarantin tujuh hari dan sekali ujian saringan Covid-19.
“Bagi pelancong tanpa VC dan CFC, mereka akan dikuarantin 10 hari dan membuat dua ujian saringan Covid-19. Pelancong dari negara dengan varian yang cepat tersebar akan perlu dikuarantin selama 14 hari.
“Mulai Oktober, pelancong dari negara berisiko rendah mungkin tidak perlu lagi menjalani kuarantin setelah daerah tertentu mencapai imuniti kelompok untuk Covid-19,” katanya pada taklimat harian Covid-19 pada Jumaat.
Thaweesilp berkata CCSA juga bersetuju melanjutkan tempoh darurat kepada dua bulan lagi sehingga akhir Mei bagi membendung penyebaran Covid-19.
Mengenai langkah pemvaksinan, Thailand telah memberikan 62,941 dos vaksin sejak dilancarkan pada 28 Februari, kebanyakannya untuk barisan depan – pegawai perubatan dan sukarelawan kesihatan.
Beliau berkata, penduduk dan pekerja pelancongan di kawasan pelancongan seperti Phuket, Koh Samui dan Chiang Mai juga telah menerima suntikan.
Berhubung festival Songkran atau tahun baharu tradisional Thailand bulan depan, menurut Thaweesilp pesta jalanan dan festival termasuk konsert dan pesta buih dilarang tahun ini untuk menghalang penularan Covid-19.
“Acara simbahan air tidak akan berlaku pada festival Songkran tahun ini dari 13 hingga 15 April. Namun, aktiviti keagamaan akan dibenarkan. Orang ramai dibenarkan rentas wilayah semasa Songkran,” katanya.
Thailand mencatatkan 100 kes baharu Covid-19 dan satu kematian pada 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini 27,594 dengan 90 kematian.