TH umum kos mengerjakan haji 2025 esok

TH umum kos mengerjakan haji 2025 esok

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kos mengerjakan haji untuk tahun depan sama ada meningkat atau kekal akan diumumkan Tabung Haji (TH) pagi esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pengumuman itu akan dilakukan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othma.

Katanya, surat tawaran menunaikan haji juga akan mula diedarkan kepada bakal jemaah esok.

“Insya-Allah, esok Isnin pagi CEO Tabung Haji akan mengumumkan kos haji bagi tahun 2025.

“Selepas jam 12 tengahari esok, Insya Allah surat tawaran haji akan dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Misi Bantuan Banjir Ihsan Madani di Kedah di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena, di sini, hari ini.

Isnin lalu, Mohd Na’im dilaporkan berkata penetapan sama ada kos bagi mengerjakan haji meningkat atau dikekalkan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata sebanyak RM572,000 dan barangan berjumlah RM257,232 disalurkan kepada mereka yang terjejas dalam misi bantuan berkenaan.

“Sumbangan tunai diberikan kepada institusi agama Islam dan pendidikan di lokasi yang terbabit dalam misi ini membabitkan dua masjid berjumlah RM40,000, 13 pondok berjumlah RM80,000.

“Selain itu sebuah Sekolah Agama Rakyat menerima tunai berjumlah RM200,000 dan sebuah Maahad Tahfiz menerima RM50,000… bantuan tunai turut diberikan kepada penduduk setempat yang terjejas berjumlah RM202,000.

“Kita juga sedang mengumpulkan maklumat berhubung keseluruhan institusi agama yang terjejas dalam banjir ini dari seluruh negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top