TH timbang tambah baik klasifikasi bantuan haji bersasar

TH timbang tambah baik klasifikasi bantuan haji bersasar

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mempertimbang menambah baik proses mengklasifikasi bakal jemaah haji bagi tujuan pemberian bantuan kewangan haji bersasar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar, berkata, TH akan meneruskan inisiatif bantuan itu dari tahun ke tahun kepada golongan paling memerlukan, selaras hasrat kerajaan menstruktur semula bantuan secara bersasar.

Katanya, dasar klasifikasi pendapatan bagi jemaah haji yang terpilih mengikut kategori B40, M40 dan T20 ini adalah berasaskan kerjasama dengan agensi kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji dengan pangkalan data kerajaan sedia ada seperti 2022 dan 2023 lalu

“TH juga mengambil maklum akan usaha kerajaan membina Pangkalan Data Utama (PADU) yang menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah dalam usaha untuk menyalurkan subsidi secara adil dan bersasar,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai).

Mohd. Na’im berkata, dasar penetapan kadar bayaran haji secara bersasar yang diperkenalkan pada musim haji 1443H/2022M sebelum ini sudah diteruskan lagi untuk musim haji 1445H/2024M.

Katanya, kadar bantuan kewangan haji yang ditetapkan bagi setiap jemaah haji adalah berdasarkan kategori pendapatan individu masing-masing dan bukannya berdasarkan pendapatan isi rumah.

“Bagi musim haji tahun ini, TH masih dalam proses mengeluarkan surat tawaran kepada jemaah haji secara berperingkat yang mula dikeluarkan sejak 19 Januari lalu.

“Sehingga kini lima bakal haji kategori B40 dan 24 bakal haji kategori M40 sudah membuat bayaran penuh, manakala sejumlah 150 orang lagi sudah bersetuju menerima sebahagian sahaja bantuan kewangan haji.

“Jumlah keseluruhan jemaah haji yang menolak tawaran bantuan kewangan haji akan diketahui selepas selesai semua bakal haji menjawab tawaran tunai haji,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top