KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik dan komited mendukung aspirasi kerajaan dalam usaha untuk memperkasa ekonomi negara melalui inisiatif reformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selaras dengan rangka kerja Ekonomi MADANI.
Inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dengan sinergi gabungan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) peneraju, termasuk TH, menyasarkan untuk memangkin sektor ekonomi utama negara.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, berkata TH selaku organisasi pengurusan simpanan patuh syariah bagi tujuan haji menyahut tanggungjawab untuk menerajui.
Selain itu katanya, syarikat juga akan berusaha memperluas peranan perbankan Islam dalam menyalurkan bantuan lebih teratur kepada golongan memerlukan.
“Kami beriltizam untuk mengukuhkan kelestarian impak sosial negara menerusi instrumen kewangan Islam.
“Sejak penubuhan lebih enam dekad lalu, TH sudah menyalurkan zakat berjumlah RM1.37 billion kepada Majlis Agama Islam negeri untuk diagihkan kepada golongan asnaf,” katanya.
Beliau berkata, pada 2023, TH telah menyantuni lebih 560,000 asnaf di seluruh negara melalui Program Zakat Wakalah dengan jumlah zakat sebanyak RM30 juta.
1.6 juta asnaf terima manfaat
TH menyerahkan Zakat TH Tahun 2023 berjumlah RM8,831,760.47 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada Majlis Zakat Korporat 2024 kepada PPZ-MAIWP di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini. – FOTO FB TH
Secara keseluruhan katanya, lebih daripada 1.6 juta asnaf sudah menerima manfaat daripada Program Zakat Wakalah TH.
“Sebagai contoh pada 2023, di bawah program ‘pembelajaran’, TH menyalurkan RM10 juta kepada pelajar dalam kalangan asnaf di pelbagai rangkaian universiti awam bagi tujuan pembayaran tuisyen, pembelian peralatan dan juga penyediaan makanan.
“Komitmen dalam memperka- sa penyaluran bantuan berkenaan turut dapat dilihat melalui kejayaan pelaksanaan Sadaqa House yang dikelola syarikat sekutu kumpulan TH iaitu Bank Islam.
“Ini adalah pemacu kewangan sosial diiktiraf pada peringkat global yang menggerakkan dana sosial seperti sedekah dan zakat untuk menjana impak positif bagi segmen yang kurang dan tidak mendapat perkhidmatan kewangan,” katanya.
Antara sumbangan zakat sebanyak RM500,000 diserahkan kepada Universiti Utara Malaysia bagi membantu pembayaran yuran pelajar asnaf di universiti berkenaan menerusi Program Iqra’ TH (IPTA) tahun lalu. – FOTO FB TH
Jelas Syed Hamadah, dana daripada inisiatif Sadaqa House berjumlah lebih RM25 juta disalurkan untuk meningkatkan kemampuan 1,200 usahawan mikro menerusi program pembiayaan mikro iTEKAD.
Selain itu katanya, dana itu juga dimanfaatkan untuk memelihara kesejahteraan hidup dan pendidikan kepada hampir 10,000 penerima manfaat termasuk 86 anak yatim yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi serta selebihnya kepada golongan asnaf dan B40 di seluruh negara menerusi pelbagai usaha dan program yang dijalankan.
“Justeru, TH berharap dengan adanya kerjasama dengan GLC dan GLIC lain di dalam inisiatif memperkasa ekonomi MADANI ini, lebih banyak GLC akan memperuntukkan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tujuan tersebut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd