TFC mampu melangkah lebih jauh jika ada penyerang berkualiti – kelab penyokong

TFC mampu melangkah lebih jauh jika ada penyerang berkualiti – kelab penyokong

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC memuji corak permainan pasukan Terengganu FC (TFC) yang dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun kelab berkenaan kecewa dengan keupayaan penyerang import yang tampak kurang menyerlah selain gagal memberikan impak yang positif buat pasukan.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, sudah tiba masanya pihak pengurusan TFC bersedia lebih awal mencari penyerang import yang benar-benar berkualiti untuk edisi akan datang dan bukannya hanya tangkap muat.

Jelasnya, ketiadaan penyerang import tulen dalam pasukan pada edisi ini menyaksikan skuad itu gagal memburu lebih banyak koleksi jaringan biarpun berpeluang untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

“Sejujurnya kami peminat setia melihat sudah ada kebangkitan buat pasukan dari semasa ke semasa sehingga berjaya beraksi di peringkat Kejuaraan Kelab ASEAN pada musim ini.

“Bagaimanapun kami lihat jentera serangan tidak begitu tajam dan gagal menterjemahkan peluang dengan jaringan kerana penyerang import sedia ada gagal menyerlah biarpun sudah diberikan peluang seluas-luasnya oleh jurulatih.

“Bagi kami jika penyerang import berkualiti, TFC mampu melangkah lebih jauh lagi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan juga Piala Shopee.

“Jadi kami meletakkan harapan yang tinggi agar pihak pengurusan TFC dapat mengikat penyerang import yang baharu dan berkualiti pada musim depan bagi memastikan skuad Penyu lebih garang lagi,” katanya.

Berdasarkan rekod jaringan dalam saingan Liga Super pada musim 2024/2025 ini, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali itu baharu meledak 20 gol sepanjang 16 perlawanan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) gah selepas mengumpul 68 jaringan dan diikuti Sabah FC dengan 34 jaringan.

Musim ini skuad itu mempunyai tiga penyerang import iaitu Ismaheel Akinade dari Nigeria, Nelson Bonilla dari El Salvador dan penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang masih belum beraksi kerana kecederaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top