TFC lemas di laman sendiri

TFC lemas di laman sendiri

sukanteam@nstp.com.my

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) tewas 4-1 kepada Penang FC pada aksi terakhir Liga Super pusingan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak sebentar tadi.

Susulan itu, TFCbukan saja terlepas peluang menyamai kutipan mata pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tergelincir ke tangga keempat.

Penang FC pula naik satu anak tangga di kedudukan ketiga dengan 22 mata.

Pada perlawanan berkenaan, skuad Harimau Kumbang terlebih dahulu memulakan ancaman menerusi sepakan deras Muhamad Azwan Mohd Aripin pada minit kedua perlawanan yang berjaya ditepis keluar penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.

Pelawat membuka jaringan menerusi sepakan sudut Endrick Dos Santos pada minit kelapan yang berjaya ditanduk masuk oleh pemain import kelahiran Tajikistan, Sheriddin Boboev.

Pada minit ke-21 gawang tuan rumah bocor lagi, kini giliran Dos Santos mencetak nama sebagai penjaring apabila mudah menolak masuk bola berpunca daripada sepakan sudut Mohammad Amer Azahar yang sebelum itu singgah di kepala Casagrande.

Ketinggalan dua gol, skuad Penyu mengubah rentak permainan dengan cuba mengasak menerusi bahagian sayap, namun dihampakan kekentalan benteng pertahanan pelawat.

Sepanjang babak pertama hanya dua percubaan tepat diperolehi skuad bimbingan Nafuzi Zain menerusi rembatan padu Faisal Halim pada minit ke-41 yang sedikit tersasar, begitu juga tandukan penyerang utamanya, David Da Silva seminit kemudian yang berjaya ditepis keluar penjaga gol, Tian Keat See.

Bersambung babak kedua, TFC berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan padu Mohamad Hakimi Abdullah dari luar kotak penalti pada minit ke-59.

Bagaimanapun selepas jaringan pertama TFC itu, skuad kendalian Thomas Trucha menambah dua lagi jaringan dalam masa empat minit menerusi dua tandukan cantik Casagrande untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Jaringan ketiga hadir pada minit ke-65 manakala gol keempat pada minit ke-68 yang menyaksikan penjaga gol gagal menepis kedua-dua tandukan pemain tinggi lampai kelahiran Brazil itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top