Teruskan ujian Covid-19 sebelum bertolak ke Langkawi

Teruskan ujian Covid-19 sebelum bertolak ke Langkawi

LANGKAWI: Kementerian Kesihatan (KKM) diminta meneruskan ujian pengesanan Covid-19 ke atas pelancong sebelum bertolak ke Langkawi dalam tempoh projek rintis gelembung pelancongan Langkawi yang bermula semalam.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ujian pengesanan itu dapat mengekang penularan pandemik Covid-19 dengan kehadiran pelancong yang tinggi di pulau ini.

Menurutnya. langkah tersebut berkesan apabila seramai lima orang yang berkunjung ke Langkawi didapati positif ketika melakukan saringan Covid-19  di pintu perjalanan darat dan laut.

Katanya, ujian pengesanan Covid-19  didapati memberi manfaat sebelum berkunjung di Langkawi 

“Terbukti ada keperluan untuk ujian pengesanan sebab ada kes positif tahap satu dan dua yang tidak ada gejala dikesan awal.

“Saya harap ujian pengesanan itu diteruskan kerana ia memberi faedah, kalau dia naik pesawat, satu pesawat terjejas, turun di sini (Langkawi) dia bergerak dia akan beri kesan kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Pantai Chenang di sini hari ini.

Suasana di Pantai Chenang semakin meriah selepas pulau tersebut mula dibuka kepada pelancong  bermula semalam.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, pihaknya mengesan lima kes positif daripada 2,528 orang yang menjalani ujian RTK-Ag sebelum mereka berlepas ke Pulau Langkawi di pintu masuk udara dan laut.

Dalam pada itu, tambahnya, pelancong juga dinasihatkan supaya melakukan ujian pengesanan Covid-19 itu sebelum datang ke lapangan terbang dan terminal.jeti.

“Kalau tak dapat buat di situ akan mengambil masa untuk melakukan ujian dan mengganggu perjalanan dan mungkin terlepas feri,” katanya. – UTUSAN