syafil.syazwan@hmetro.com.my
DALAM dunia seni yang serba mencabar, Ernie Zakri terus membuktikan dirinya sebagai antara bintang bersinar.
Tahun 2024 dan 2025 menyaksikan banyak pencapaian positif dalam kariernya, mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi dan penghibur yang disegani.
Namun, di sebalik kejayaan demi kejayaan, Ernie tetap berpijak di bumi nyata dan menyatakan kesyukuran atas segala nikmat yang diperolehi.
Persembahan pentasnya memukau, pelancaran lagu-lagu baharu mendapat sambutan hangat serta anugerah yang menghargai bakatnya menjadi bukti kerja kerasnya selama ini.
“Ramai juga peminat mengatakan 2024 dan 2025 adalah tahun yang banyak kejayaan untuk saya. Saya bersyukur sebenarnya. Saya juga nampak graf perjalanan karier saya sangat positif.
“Saya rasa, saya memulakan tahun ini dengan amat baik dan benda itu sebenarnya buatkan saya rasa lebih nak bekerja dengan pintar. Apa lagi kelainan yang boleh berikan kepada peminat,” katanya.
Bernaung di bawah label Universal Music Malaysia, Ernie ingin terus melakukan kerja-kerja seni serta kehidupannya dengan penuh ketenangan.
“Dengan bantuan Universal Music Malaysia, banyak juga projek yang akan datang. Saya tak ada apa-apa pandangan lain mengenai kejayaan dan sebagainya. Saya cuma buat kerja saya dengan baik dan tenang.
“Selepas beberapa lama dalam industri, dari dulu apa yang saya sasarkan, ada yang saya dah dapat. Saya nak jalani tahun ini dengan baik, Insya-Allah,” katanya.
Namun, di sebalik kemeriahan dan kepadatan jadualnya, Ernie sedar akan kepentingan menjaga kesejahteraan diri.
“Apabila dah berada di satu tahap yang saya pernah idamkan sebelum ini, masa untuk diri sendiri banyak saya korbankan. Ini bukan keluhan atau apa, tetapi apa yang saya sedar ketika saya sakit.
“Bukanlah kejam kepada diri sendiri, ini semua rezeki. Ia lebih kepada saya menolak tepi mengenai diri saya sendiri. Saya perlukan masa sendiri untuk sembuh daripada tenaga yang saya dah beri kepada orang.
“Ia sangat penat sebenarnya. Benda itu pun saya tolak tepi pada ketika itu. Tapi, saya sedar pengorbanan adalah masa untuk diri sendiri. Saya rasa, selebriti lain pun banyak pengorbanan yang mereka lakukan,” katanya.
Bakal mengadakan konsert Ernie Zakri Live in Singapore di Capitol Theatre, Singapura pada 31 Mei depan, Ernie juga ingin menyajikan persembahan terbaik buat peminatnya.
“Semasa di Kuala Lumpur, banyak benda yang saya nak buat, tetapi tak termampu kerana faktor kesihatan. Satu benda yang saya sangat nak buat adalah berkomunikasi dengan mereka.
“Saya hanya dapat berkomunikasi dengan mereka melalui lagu waktu itu. Jadi, itu antara benda yang saya sangat nantikan. Tapi, konsep lain seperti lagu tambahan, tarian dan sebagainya, memang ada dalam perancangan.
“Konsert di Kuala Lumpur adalah satu konsep yang kami jalankan ‘post mortem’ sebenarnya. Tetapi, kami akan tetap bawakan nuansa sama sebab tak mahu nanti ada yang cakap tak adil sebab apa yang tak ada di Kuala Lumpur, ada di Singapura,” katanya.
Menurut Ernie lagi, banyak ilmu selok belok konsert yang ditimba selepas mengadakan konsert di Kuala Lumpur sebelum ini.
“Sebenarnya, banyak saya belajar antaranya, belajar untuk berehat. Proses untuk mengadakan konsert bukan seperti persembahan biasa. Ia memerlukan segala benda, mental, tenaga, kesihatan tubuh badan dan sebagainya.
“Saya rasa, yang saya kena beri perhatian adalah waktu rehat yang mana saya agak ambil remeh sebab saya orang yang suka sangat bekerja.
“Jadi, apabila saya dah bermesyuarat dengan pasukan dan bila semua orang termasuk doktor cakap saya ‘overwork’, benda itu menjadi tamparan kepada saya juga sebab saya fikir badan saya boleh terima, sedangkan badan saya dah beri amaran. Ini padah yang saya dapat,” katanya.
Ramadan ini juga menjadi ruang terakhir untuknya bekerja sebelum menghabiskan waktu untuk berehat.
“Dalam Ramadan pun, saya kena ke Jakarta untuk selesaikan beberapa projek saya di sana. Kemudian, selepas itu baru saya akan mula berehat sehingga Mei,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd