am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 27 orang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn (2) berpeluang menaiki Mekatrain serta menyertai kempen interaktif bersama watak animasi terkenal, Mechamato.
Guru penyelaras PPKI, Rafidah Mehat, 47, berkata program berkenaan memberi impak positif kepada pelajar istimewa, terutama dalam membina keyakinan diri dan pendedahan kepada penggunaan pengangkutan awam.
“Melalui aktiviti seperti ini, pelajar dapat belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, termasuk bunyi bising yang sering menjadi cabaran kepada pelajar autisme.
“Dengan latihan dan pendedahan berterusan, mereka akan menjadi lebih selesa,” katanya kepada Harian Metro selepas Majlis Pelancaran Tren dan Bas Bertemakan Mechamato di Stesen Monorel Hang Tuah, hari ini.
Rafidah berkata pelajar yang dipilih untuk menyertai program berkenaan adalah mereka yang boleh mengurus diri, mendengar arahan, dan menunjukkan tingkah laku positif.
“Cabaran utama adalah memastikan keselamatan mereka kerana memerlukan lebih banyak perhatian. Arahan perlu diberikan berulang kali untuk difahami, tetapi kami sangat gembira melihat mereka seronok,” katanya.
Tambahnya, program berkenaan turut membabitkan lapan guru, termasuk dua pembantu pengurusan murid (PPM), bagi memastikan keselamatan dan kelancaran aktiviti untuk 27 pelajar yang dipilih daripada 63 pelajar PPKI sekolah terbabit.
Sementara itu, pelajar, Nur Aina Raihana Mohd Hafiz Naqiuddin, 12, berkata pengalaman itu sangat menyeronokkan baginya.
“Best sangat! Lepas ni saya nak ajak ibu bapa datang bermain game (permainan) tangkap robot pula,” katanya.
Selain itu, pelajar, Muhamad Khasyaf Az Zasran Muhamad Ali, 11, berkata itu adalah pengalaman kali kedua baginya menaiki tren.
“Ini kali kedua saya naik Mekatren. Saya suka sebab ada Mechamato dan permainannya menarik. Lepas balik rumah, saya nak cerita pada ibu bapa saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd