Teruja mewakili Pilihan Selangor

Teruja mewakili Pilihan Selangor

syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peluang beraksi dalam perlawanan Piala Sultan Selangor (TSSC) 2024 pada 17 Ogos ini boleh dianggap antara kemuncak kerjaya sebagai pemain skuad Gergasi Merah itu.

Perlawanan membabitkan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura itu mula diperkenalkan sejak 23 tahun lalu, namun ramai pemain muda masa kini tidak merasai kehangatan pertembungan dua seteru utama itu.

Situasi terbabit diakui tonggak Selangor FC, Faisal Halim apabila peluang beraksi dalam perlawanan itu ibarat bulan jatuh ke riba sekali gus bagi mendapatkan kembali momentum selepas berhadapan insiden disimbah asid pada 5 Mei lalu.

Mengakui masih dalam tempoh pemulihan, pemain itu hanya mendapat gambaran mengenai kejohanan terbabit daripada ‘orang lama’ dan rakan sepasukan lain, sekali gus menerbitkan rasa teruja untuk berada dalam skuad Pilihan Selangor.

“Bagi saya, ini kali pertama beraksi untuk Piala Sultan Selangor dan dapat gambaran kejohanan itu daripada rakan sepasukan dan pengurusan.

“Ia adalah kejohanan bagus untuk Selangor dan kita perlu fokus sama ada di dalam atau di luar liga kerana semua perlawanan adalah penting.

“Sudah pasti jika diberikan peluang beraksi, saya akan berikan yang terbaik untuk pasukan. Kejohanan ini memberi ruang kepada saya untuk mendapatkan semula minit permainan, dapatkan apa yang sudah saya terlepas pada perlawanan akan datang,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai projek pembangunan bersepadu Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang mula dibina awal bulan lalu, Faisal melihat ia mampu meningkatkan kualiti bola sepak Selangor FC menerusi pelbagai kemudahan disediakan kelak.

Malah, katanya, pembangunan projek KSSA yang serba lengkap memang dinanti-nantikan pemain Selangor FC kerana memiliki aura yang meningkat lagi keyakinan mereka untuk beraksi.

“Saya cukup gembira dengan pembinaan KSSA ini, dan perkara paling penting berharap masih lagi bersama Selangor FC apabila venue itu siap nanti.

“Pembinaan KSSA akan meningkatkan lagi semangat pemain seterusnya menambah kehangatan mereka untuk hadir ke stadium. Paling penting, semua kemudahan itu diharap akan memberikan keselesaan kepada pemain untuk fokus pada setiap perlawanan,” katanya.

Lain pula ceritanya buat kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin yang berpengalaman beraksi dalam Piala Sultan Selangor pada 2012.

Bezanya, ketika itu, Safuwan mewakili Pilihan Singapura dan kali ini situasi terbabit berubah kerana dia sah akan menyarung jersi Pilihan Selangor.

Safuwan berkata, membarisi Pilihan Selangor bakal mengimbau kembali kenangan manis kira-kira 12 tahun lalu terutama sorakan dan kemeriahan penyokong yang hadir menyaksikan kejohanan itu.

“Saya lihat Piala Sultan Selangor pastinya ditunggu-tunggu penyokong bola sepak tanah air. Kali terakhir saya beraksi di kejohanan itu pada 2012 dan kemudiannya bersama Lions XII.

“Selepas itu, saya tidak berpeluang untuk beraksi lagi, sekali gus agak teruja untuk beraksi pada kejohanan kali ini.

“Sudah pasti perasaan bercampur-baur kerana ramai bertanya saya wakil pasukan mana? Sudah tentu bersama Pilihan Selangor dan ia jarang berlaku,” kata pemain kelahiran Singapura itu.

Berhubung pembangunan KSSA, Safuwan menyambut baik projek berkenaan memandangkan Selangor bakal mempunyai kemudahan lengkap sekali gus membantu perkembangan pemain ke tahap optimum.

Siapnya projek KSSA akan memberi kesan positif kepada pemain. Kemudahan bersepadu yang lengkap dapat membantu mempertingkatkan lagi keupayaan pemain Selangor FC.

“Ini bukan hanya bola sepak semata-mata, namun juga memberi kesan kepada industri sukan di Selangor. Sudah tentu akan membuatkan semua pihak gembira dan berpuas hati apabila banyak kejohanan membabitkan sukan dapat dilaksanakan kelak.

“Saya mengharapkan kemudahan ini akan meningkatkan lagi keupayaan sukan bola sepak di Selangor khususnya, selain menjadi kebanggaan penyokong gergasi Merah Kuning,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top