Teruja bunyi tet, tet, tet

Teruja bunyi tet, tet, tet

Bunyi ‘tet, tet, tet’ akan terngiang-ngiang di telinga Heidizaini Jurami, setiap kali dia ‘berehat’ daripada melakukan aktiviti ‘memburu’ logam.

Bunyi alat pengesan logam itu bagaikan menggamitnya agar segera kembali ke lapangan, sementelah dia kini sibuk menguruskan perniagaan menjual peranti berkaitan aktiviti berkenaan di Sungai Buloh, Selangor.

“Lapan tahun dulu saya hanya suka-suka menjejaki logam dan tidak pernah menyangka aktiviti ini akan menjadi sumber pendapatan utama saya sekeluarga sekarang,” katanya.

Menurut lelaki berusia 46 tahun ini, dia berjinak-jinak dalam bidang itu selepas termakan pujukan isterinya, Siti Norzehan Mohd Yatim, 46, yang teruja melihat sekumpulan penjejak logam meraih hasil lumayan daripada kegiatan berkenaan.

“Dia menonton video tentang penjejak logam di luar negara yang menemukan pelbagai barangan termasuk barang kemas. Kemudian dia pujuk saya agar cuba aktiviti ini sebagai kerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga. Ketika itu saya bekerja sebagai tukang rumah dengan upah sekadar cukup makan,” katanya.

Akur dengan desakan isteri, Heidizaini yang mesra disapa Heidi, mula mengumpul modal bagi membeli alat pengesan logam terpakai berharga RM2,000.

“Kemudian saya menggali dan menimba ilmu dengan menonton video di YouTube serta belajar daripada beberapa penggiat tegar tentang cara betul menggunakan alat itu,” katanya sambil menambah dia dan isterinya turut menyertai komuniti penjejak logam di media sosial bagi meningkatkan pengetahuan.

Menurutnya, pada peringkat awal, mereka hanya melakukan kegiatan itu di pantai sekitar Selangor, seperti Morib dan Bagan Lalang.

“Tahun pertama itu saya anggap aktiviti hunting ini hanya sekadar suka-suka, tetapi selepas berjaya menemukan pelbagai barangan berharga saya mula memberi perhatian lebih serius,” katanya.

Menurut Heidi, sikapnya terhadap kegiatan itu berubah selepas hasil yang diraih daripada jualan barangan berharga yang ditemukan berlipat kali ganda berbanding upah sebagai tukang rumah.

“Kemudian kami mula keluar dari Selangor dan memburu di negeri-negeri lain seperti Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis serta Sabah dan Sarawak,” katanya.

Heidi berkata, mereka juga kerap memuat naik aktiviti itu di akaun media sosial mereka, sekali gus menarik perhatian individu lain untuk turut terlibat dalam bidang berkenaan.

“Dalam tempoh empat tahun, kami berjaya mewujudkan kumpulan penjejak logam kami sendiri melebihi 1,000 orang.

“Dengan cara ini, kami dapat cari di lokasi lebih luas, sekali gus peluang jumpa barang berharga lebih tinggi. Selain emas, kita juga temukan barangan seperti syiling lama yang kemudian kita jual kepada pengumpul,” katanya.

Meskipun bekerja dalam pasukan, hasil penemuan adalah milik ahli yang menemukan barangan itu, jelasnya.

Menurutnya, hasil daripada jualan barangan berharga yang ditemukan itu, dia membeli peralatan baharu dengan harga ribuan ringgit.

“Alat pengesan baharu ini mampu mengesan besi dan logam yang berada pada kedalaman tanah hingga empat kaki,” katanya.

Heidi berkata, bertitik tolak dari situ, dia dan kumpulannya memberanikan diri meneroka peluang di negara luar seperti di Krabi, Thailand dan Bali, Indonesia.

Bagaimanapun katanya, melakukan pemburuan logam di negara orang tidak semudah seperti di negara ini kerana kebanyakan pantai yang dikunjungi mereka menetapkan syarat-syarat tertentu termasuk perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa kawasan berkenaan.

Katanya, ini kerana kawasan tersebut merupakan tumpuan pelancong dan pihak berkuasa setempat tidak mahu kegiatan memburu barangan berharga itu mengganggu keselesaan pengunjung.

“Misalnya di Krabi, kami hanya dibenarkan membuat pencarian pada waktu malam namun kegiatan kami memberi pulangan lumayan.

“Di sana kami temukan banyak duit syiling pelbagai negara, dan paling berharga barangan kemas. Emas ini kami jual kembali dan ketika itu memang tidak sangka nilainya boleh tampung perbelanjaan di sana termasuk tiket penerbangan,” katanya yang menghabiskan lima hari di pantai itu.

Heidi berkata, perjalanan ke Krabi pada 2018 itu juga merupakan kali pertama dia dan isteri “terbang” ke luar negara.

Sementara itu, Siti Norzehan berkata, kegiatan tersebut bukan sahaja memberikan pulangan tinggi, tetapi turut merapatkan lagi hubungan mereka sekeluarga.

“Dulu hanya jadi suri rumah, sekarang saya gembira kerana dapat turut serta dalam kegiatan itu bersama-sama suami. Malah tidak ramai wanita yang ceburi bidang ini,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Pada masa sama, dia berkata, sebarang penemuan barangan tinggalan sejarah, seperti syiling lama, mereka akan kongsikan pengetahuan itu dengan anak-anak.

“Contohnya, apabila kita jumpa duit syiling zaman British, kami akan berkongsi sejarah pendudukan British di negara ini dengan anak. Kami juga ajak anak sertai kegiatan ini.

“Malah penemuan barangan dari masa lampau juga menarik minat penggiat untuk meneroka dan mempelajari sejarah lokasi di mana barangan itu ditemukan,” jelasnya sambil menambah pencarian mereka tidak terhad kepada kawasan pantai dan sungai semata-mata, tetapi turut meliputi tempat bersejarah.

Melalui kegiatan itu juga, Siti Norzehan berkata, mereka berinteraksi dengan komuniti setempat.

Berkongsi perasaannya semasa melakukan kegiatan itu, dia berkata, keterujaan memuncak apabila alat pengesan logam mengeluarkan bunyi.

“Ketika ini kita berasa tidak sabar untuk menggali tanah dan melihat apa yang kita jumpa,” ujarnya.

Dalam tempoh singkat, Heidi dan Siti Norzehan boleh dikatakan menjadi ‘pakar’ dalam bidang itu.

Mereka bukan sahaja mahir menggunakan peralatan tetapi turut mampu mengenal pasti jenis logam yang dikesan menerusi perbezaan bunyi yang dikeluarkan oleh alat pengesan.

“Alat ini mengeluarkan bunyi yang berbeza, jadi kami biasanya sudah tahu apa yang tertanam di dalam tanah, sama ada duit syiling, barangan kemas atau benda lain,” katanya.

Sentiasa berkongsi kegiatan mereka di laman sosial, tanpa diduga oleh pasangan suami isteri ini kepakaran mereka diikuti oleh sebuah syarikat pengeluar alat pengesan logam berpangkalan di Australia.

“Mereka beri kepercayaan kepada kami untuk menjadi satu-satunya pengedar mereka di Malaysia dan Asia,” kata Heidi.

Menurutnya, Minelab Metal Detector membantu mereka membuka kedai pada 2019 dengan memberikan modal dan bantuan lain.

“Jika pada permulaan operasi kedai kami hanya membekalkan peralatan pengesan logam, sejak dua tahun lalu kami perluas produk yang dijual, menjadikan kedai kami pusat sehenti yang menawarkan peralatan lengkap untuk kegiatan itu, termasuk pakaian yang bersesuaian,” tambahnya.

Menurut Siti Norzehan, kegiatan itu juga semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sehinggakan adakala dia dan suami tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang ke kedai mereka.

“Kita bukan sekadar menjual alatan semata-mata tetapi turut berkongsi ilmu tentang aktiviti ini terutamanya dengan mereka yang baru berjinak-jinak. Menariknya, ada yang baru berusia 10 tahun tetapi cukup berminat dalam kegiatan ini.

“Disebabkan hanya kedai ini sahaja yang menjadi pengedar sah Minelab Metal Detector di Asia, pelanggan kami bukan sekadar orang tempatan tetapi juga dari negara jiran. Justeru, ada masa kami buka kedai hingga 2 pagi,” kata Siti Norzehan.

Meskipun sibuk dengan perniagaan, pasangan suami isteri itu tetap aktif dalam pemburuan barangan logam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top