Seoul: Tentera Udara Korea Selatan pada Jumaat menggantung tugas dua juruterbang selama setahun selepas mereka secara tidak sengaja menjatuhkan beberapa bom di sebuah perkampungan awam awal bulan ini, menyebabkan puluhan penduduk cedera, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pada 6 Mac, dua jet pejuang KF-16 menjatuhkan lapan bom MK-82 di luar kawasan latihan di Pocheon, kira-kira 40 kilometer di utara Seoul, semasa latihan menembak menggunakan bom sebenar, menyebabkan 52 orang cedera, termasuk 38 orang awam.
Tentera Udara mendakwa kedua-dua juruterbang atas tuduhan kecuaian menyebabkan kecederaan serta menjalankan semakan kelayakan mereka.
Di bawah proses semakan disiplin, individu yang bertanggungjawab atas salah laku boleh dikenakan hukuman penggantungan tugas hingga pemecatan.
Keputusan penggantungan dibuat kerana siasatan mengenai insiden itu masih berjalan dan semakan kelayakan tambahan akan dilakukan selepas kementerian pertahanan selesai menjalankan siasatan, menurut seorang pegawai Tentera Udara.
Dalam siasatan awal yang dikeluarkan awal bulan ini, Tentera Udara mendapati kesilapan juruterbang dalam memasukkan koordinat sasaran yang salah adalah punca utama kejadian pengeboman tidak sengaja itu.
Tentera Udara turut memecat dua komander unit kerana gagal memberikan arahan khusus kepada anggota bawahan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd