Territory Stingers kongsi satu mata

Territory Stingers kongsi satu mata

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Territory Stingers, David Skippings mengakui terpaksa berpuas hati apabila berkongsi satu mata selepas seri 1-1 menentang TNB Thunderbolts dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Kelab dari Australia itu beraksi kali pertama dalam LHM hampir pulang dengan tangan kosong selepas Fahmi Khalid meletakkan TNB Thunderbolts di depan pada minit ketujuh sebelum Tarrant Haami-Jones berjaya menjaringkan gol penyamaan empat minit menuju tamat.

“Secara keseluruhan permainan kami bermain dengan persembahan yang stabil. Pada awal permainan kami terkejut dengan kepantasan dan ketangkasan pemain lawan. Saya fikir permainan kami menjadi lebih baik selepas beberapa minit beraksi.

“Kami sentiasa mahukan mata penuh malah kami berusaha untuk menang tetapi satu mata tetap satu mata. Dalam pertandingan seperti ini, ia boleh memberi perbezaan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Territory Stingers dijadual menentang Nurinsafi Sporting di venue yang sama esok sebelum bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Jalil, Sabtu ini. – UTUSAN

Scroll to Top