Terperangkap banjir, penduduk PPR Desa Mutiara zahir kebimbangan

Terperangkap banjir, penduduk PPR Desa Mutiara zahir kebimbangan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Selain tiada elektrik, bekalan makanan kami yang masih terperangkap di flat ini juga semakin terhad,” kata penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Mohd Amir Abdullah, 50, yang terperangkap akibat banjir di sekeliling flat berkenaan.

Menurutnya, kawasan itu mula dilanda banjir pada 9 pagi hari ini dan air naik mendadak hingga penduduk di aras bawah flat terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara di sini.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan penduduk tinggal di tingkat atas masih menghuni kediaman masing-masing meskipun dalam keadaan serba kurang.

“Kami tidak berani meredah banjir terutama keluarga yang memiliki anak kecil kerana bimbang membahayakan diri.

“Kami juga tidak dapat masak kerana bekalan elektrik di kawasan ini ditutup dan tadi, kebanyakan kami hanya berbuka dengan memakan roti. Dikhuatiri jika keadaan berterusan beberapa hari,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nasir Ahmad, 63, tidak menolak kemungkinan banjir berlaku akibat masalah sistem saliran, selain binaan pagar yang menghalang laluan air.

“Apapun, inilah Ramadan yang tidak dapat dilupakan. Keseluruhannya terdapat 22 blok di sini dan hanya sebahagian penduduk saja yang berpindah ke PPS.

“Tempat di PPS juga terhad dan tidak mungkin memuatkan 2,000 keluarga dari flat ini. Sekurang-kurangnya kami dibekalkan lilin dan sedikit bekalan makanan,” katanya.

Norazlin Rashid, 30, pula berharap kebajikan penduduk yang terperangkap di flat itu diberi perhatian, khususnya warga emas dan kanak-kanak.

© New Straits Times Press (M) Bhd