am@hmetro.com.my
Nilai: Dia memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa bagi mencari rezeki serta menjaga dua adiknya seawal usia 19 tahun.
Ketika remaja sebayanya menempuhi pelbagai pengalaman di kampus, Puteri Noor Ashikin Abdullah, 29, pula terpaksa berhempas pulas bekerja sampingan dan menguruskan dua adik masing-masing berusia tiga dan tujuh tahun ketika itu.
Ujian itu dihadapinya selepas kematian ibu akibat kemalangan jalan raya di Kulim, Kedah, pada 2014, manakala ayah mereka menghilangkan diri sejak kecil menyebabkan dia nekad membawa dua adiknya bersama ke tempat dia belajar.
Puteri Noor Ashikin berkata, dia menjaga dua adiknya, Putera Shahrul Qusyairi, 13, yang menghidap disleksia dan Putera Amirul Rashidin, 17, sejak menuntut di kolej sehingga kini.
“Ketika belajar dalam tahun pertama di Kolej Universiti Linton, di Mantin, ibu meninggal dunia. Saya terpaksa membawa salah seorang adik tinggal bersama di asrama kolej selama tiga bulan kerana tiada ahli keluarga lain mahu menjaga ketika itu.
“Situasi itu sememangnya membuat rakan sebilik tidak selesa namun mereka masih faham situasi saya. Apabila menghadiri kelas, saya terpaksa tinggalkan adik yang ketika itu berusia tujuh tahun di bilik.
“Dalam masa sama pelbagai kerja dilakukan untuk menampung perbelanjaan kami. Adik bongsu pula ketika itu masih bayi dan dijaga sementara oleh rakan ibu yang tinggal di Perak,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Mantin, di sini.
Puteri Noor Ashikin berkata, tidak lama selepas itu, kedua-dua adiknya ditempatkan di pusat kebajikan di Perak sehinggalah dia menamatkan pengajian.
“Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan dari Universiti Leeds Beckett United Kingdom iaitu program berkembar dengan Kolej Universiti Linton, Mantin.
“Pernah juga saya dapat tawaran sebagai pegawai pentadbiran sebuah universiti swasta di Selangor, tetapi terpaksa menolaknya berikutan adik bongsu yang menghidap disleksia memerlukan perhatian penuh.
“Dia memerlukan sokongan. Badannya kurang kuat, senang jatuh selain pada masa tertentu menjadi hiperaktif. Dia perlu sentiasa dipantau, jadi saya tidak boleh lakukan kerja mengikut waktu pejabat,” katanya.
Menurutnya, dia kini memberikan khidmat tuisyen dari rumah ke rumah kepada murid tadika hingga pelajar tingkatan lima di sekitar Nilai dan Mantin.
“Pendapatan yang diperoleh kurang RM1,000 sebulan. Adik bongsu pula memerlukan makanan berkhasiat dan minum susu khas bagi memastikan penyakitnya berkurangan.
“Jika ada duit lebih, barulah dapat beli susu atau makanan yang lebih berkhasiat. Kini sewa rumah pun sudah tertunggak selama tiga bulan,” katanya.
Tambahnya, pesanan arwah ibunya yang mengamanahkan dua adiknya itu menyebabkan dia melupakan karier dan masa depan sendiri demi memastikan dua beradik itu dibesarkan.
“Kini adik yang berusia 17 tahun tinggal di asrama seliaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains). Ringan sedikit beban saya, namun jika ada pihak yang dapat bantu saya mengembangkan khidmat tuisyen ini, saya sangat berbesar hati.
“Saya mempunyai idea dan proposal untuk mengembangkan ‘home tutor’ ini. Jika ada peluang dan jalan saya mahu bekerjasama dengan syarikat lain,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Puteri Noor Ashikin di talian 011-12643718 atau menerusi nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0899529000336432.
© New Straits Times Press (M) Bhd