Terlalu awal perhalusi sistem kutipan tol aliran bebas pelbagai lorong

Terlalu awal perhalusi sistem kutipan tol aliran bebas pelbagai lorong

am@hmetro.com.my

Sekinchan: Terlalu awal untuk memperhalusi pelaksanaan sistem kutipan tol secara Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, sehubungan itu satu memorandum atau kertas cadangan akan diangkat ke Kabinet untuk menyatakan perkara yang terdahulu sudah tamat masa dan hala tuju masa depan kerajaan.

“Sistem MLFF ini memang diluluskan oleh kerajaan terdahulu dan kerajaan sekarang kerana ia diguna pakai di negara maju.

“Malaysia bersama dalam satu yang dikategorikan sebagai Intelligent Transport System (ITS) dan kita sudah bersetuju. Mungkin yang dimaksudkan adalah siapa kontraktor yang akan mengendalikan atau operasikan.

“Pada peringkat awal, sebuah syarikat diberi perjanjian dua tahun dan tempoh itu sudah tamat untuk Proof of Concept (POC).

“Jadi ia sekarang terbuka dan jika ada idea kita akan terima nanti,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke lokasi tapak pembinaan jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman di sini, hari ini.

Kerajaan melalui KKR berhasrat memperkenalkan konsep plaza tol tanpa palang bagi melancarkan kutipan pembayaran tol.

Melalui sistem itu, pengguna tidak perlu lagi memberhentikan atau memperlahankan kenderaan ketika membuat bayaran tol.

Sebelum ini, Nanta Linggi mengakui terdapat kira-kira 13 daripada 33 syarikat konsesi lebuh raya tidak bersetuju dengan pelaksanaan sistem MLFF.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top