Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini telah melepas dan membebaskan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin daripada satu kes gagal mengisytiharkan lebih daripada 70 harta.
Tun Daim didakwa atas pertuduhan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Pendakwaan tidak diteruskan kerana Tun Daim meninggal dunia
Berdasarkan laporan daripada Berita Harian, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan prosiding kerana Tun Daim telah meninggal dunia pada 13 November lalu.
Hakim, Azura Alwi kemudian membuat keputusan itu mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Mahkamah dengan ini memerintahkan Allahyarham Tun Daim dilepaskan dan dibebaskan.
Mahkamah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga beliau ditempatkan di kalangan solihin.-Katanya
Isteri Tun Daim mahu pendakwaan diteruskan
Bagi Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, isteri Tun Daim mahu pendakwaan kes kegagalan mengisytiharkan harta terhadap arwah suaminya itu diteruskan. Adalah menjadi hasrat arwah suaminya supaya perbicaraan itu diteruskan di mahkamah sehingga tamat walau apapun terjadi.
Allahyarham didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Toh Puan Na’imah juga didakwa pada 23 Januari lalu atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.