Terkejut lihat hospital terbakar

Ampang: Orang ramai yang berada sekitar Jalan Memanda di sini, terkejut apabila melihat bahagian luar sebuah hospital swasta terbakar malam tadi.

Kejadian itu tular di media sosial apabila api marak berkenaan dilihat membakar binaan di dinding hospital yang terletak bersebelahan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini.

Bagaimanapun tindakan pantas pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang berjaya kebakaran pada papan tanda hospital berkenaan.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata, anggota bomba bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 10.08 malam dan tiba di lokasi jam 10.12 malam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapat api sedang marak dan kebakaran berlaku pada papan iklan berlampu di bahagian luar bangunan hospital terbabit.

“Kebakaran itu juga tidak membabitkan mangsa atau struktur bangunan atau wad pesakit. Hanya papan tanda di luar bangunan yang terbakar,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa lebih 20 minit untuk memadamkan kebakaran itu.

“Operasi membabitkan lapan pegawai dan anggota BBP Ampang serta tiga pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Scroll to Top