Teringin nak watak air mata, tak nak jadi penyondol lagi

Teringin nak watak air mata, tak nak jadi penyondol lagi

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Julia Farhana Marin, 31, berhasrat melakonkan watak air mata sebagai wanita teraniaya, termasuk berhati waja yang langsung tiada kaitan dengan watak penyondol.

Julia berkata, dia seronok melihat lakonan mantap pelakon seperti Ummi Nazeera dan Mira Filzah yang membawakan watak wanita kuat, tabah dan cekal dalam drama dibintangi mereka hingga menyentuh hati.

“Selepas berkahwin, saya memang dah tak mahu melakonkan watak penyondol atau orang ketiga. Cukuplah, pernah buat sebelum ini. Tapi, saya teringin melakonkan watak Elina seperti dalam drama Curang Tanpa Niat.

“Saya sangat sukakan watak lakonan Mira Filzah itu (dalam Curang Tanpa Niat). Sekiranya dapat peluang, saya tidak akan lepaskannya dan berlakon bersungguh-sungguh,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Julia, selama aktif berlakon sejak 2011, dia jarang mendapat peluang untuk membawa watak air mata berbanding watak jahat sebagai penyondol.

“Selain penyondol, saya juga sebelum ini sering diberi kepercayaan melakonkan watak aksi terutama dalam filem. Tapi sekarang, saya betul-betul teringin membawakan watak wanita teraniaya dan ‘superwoman’.

“Jujur dikatakan ketika menonton lakonan Mira Filzah dalam Curang Tanpa Niat, dalam hati saya memang ada terdetik bilalah akan dapat watak seperti itu? Saya yakin boleh melakonkannya dengan baik.

“Harapan saya, semoga impian yang dihasratkan ini menjadi kenyataan juga. Saya mahu mencuba watak air mata kerana jika pelakon lain boleh buat, maka saya pun boleh melakonkannya,” katanya.

Julia yang pernah membintangi filem aksi Coast Guard Malaysia: Ops Helang, mendirikan rumah tangga dengan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada 14 Disember 2022.

Hampir tiga tahun hidup bersama, mereka belum dikurniakan cahaya mata dan Julia juga ketika ini melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top