Terima kasih rakyat Malaysia kerana bantu Ayyash Mateen

Terima kasih rakyat Malaysia kerana bantu Ayyash Mateen

am@hmetro.com.my

Alor Setar: “Alhamdulillah syukur. Selepas kisah anak saya disiarkan dalam akhbar ini, ramai yang menghulurkan sumbangan.

“Setakat ini, sumbangan sudah lebih RM3,000 dan saya gunakan untuk beli stok susu formula khas manakala selebihnya saya gunakan untuk kos rawatan serta barangan lain,” kata Mohammad Hafiz Azizan, 27.

Menurut Mohamad Hafiz, anaknya, Mohamad Ayyash Mateen Mohamad Hafiz yang berusia tujuh bulan kini dalam keadaan baik dan sihat.

Katanya, dia akan membawa anak bongsunya itu bertemu doktor pakar bulan ini untuk membincangkan mengenai pembedahan anaknya itu.

Menurutnya, walaupun bimbang pembedahan itu mempunyai risiko untuk anaknya namun dia berharap memperoleh keputusan yang terbaik demi menyelamatkan nyawa bayinya itu.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyalurkan sumbangan untuk membantu saya menguruskan anak saya ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muka depan Harian Metro hari ini menyiarkan kisah bayi lelaki, Mohamad Ayyash Mateen yang menghidap enam penyakit kronik sejak lahir dan menjadikan hospital sebagai rumah keduanya.

Bayi itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang bercantum, buah pinggang bengkak, jantung berlubang, paru-paru kronik, darah beku pada otak dan sindrom ‘cri du chat’ (berkaitan genetik).

Berikutan itu, bapanya yang bekerja di sebuah kedai pemborong dengan gaji harian RM60 tidak mampu menyediakan wang membeli susu formula khas dan kos rawatan anaknya sepanjang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ibunya, Siti Nor Aidah Saidon, 25, tidak bekerja dan pasangan itu mempunyai seorang lagi anak, Mohamad Adam Faiq, 3.

Selain itu, bayi itu perlu memakai alat pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) untuk membantu pernafasannya dan alat itu disewa dengan harga RM400 sebulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd