redzuan.muharam@hmetro.com.my
Pekan: Biarpun baru menjejakkan kaki ke sekolah dan bersuai kenal, persahabatan tiga murid ini nampak tulus.
Menerusi satu video dimuat naik di TikTok, tiga murid perempuan itu bukan hanya berjalan bersama malah dua daripadanya dilihat memimpin tangan seorang rakan istimewa mereka di tengah.
Video itu mendapat perhatian warganet selepas Nuradila Mohd Mahadi, 31, iaitu ibu Nur Dhia Mikayla, 7, kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dibantu itu memuat naiknya di TikTok.
Perkongsian itu meraih lebih 300,000 tontonan dengan rata-rata warganet memuji sikap dua murid yang membantu dan ibu bapa mereka kerana mendidik anak dengan baik.
Berkongsi kisah sebenar, Nuradila berkata, video itu dirakam secara spontan ketika datang ke sekolah untuk meninjau keadaan Nur Dhia Mikayla atau nama manjanya Dhia yang baru mendaftar masuk Tahun Satu pada Isnin lalu.
“Waktu saya rakam itu adalah hari keempat Dhia bersekolah dan saja datang untuk tengok keadaannya ketika minggu orientasi.
“Ketika menunggu, saya nampak daripada jauh Dhia keluar dari kelas dengan tangannya dipimpin dua rakan untuk ke kantin.
“Sebak rasanya bila tengok depan mata anak dilayan dengan baik oleh rakan yang faham keadaannya walaupun usia mereka masih kecil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut, Nuradila berkata, Dhia adalah anak sulung daripada dua beradik dan dilahirkan normal namun disahkan OKU fizikal ketika berumur dua tahun selepas dua kakinya bengkok hingga tidak dapat berjalan normal.
“Dhia dilahirkan pramatang dan waktu kecil, dia tak merangkak tapi melompat dengan lutut.
“Selepas buat rawatan saraf dan tradisional, ada nampak perubahan kerana Dhia sudah dapat imbangkan badan walaupun belum normal sepenuhnya.
“Tapi keadaannya itu yang membuatkan saya takut jika Dhia tak boleh urus diri tapi cikgu sangat membantu malah dan pesan kepada murid lain untuk bantu serta tak tinggalkan anak saya,” katanya.
Menurut Nuradila, setakat minggu pertama persekolahan, semuanya berjalan lancar malah Dhia sangat teruja setiap kali ke sekolah.
“Dhia pemalu budaknya tapi dia beritahu saya yang dia seronok sangat nak ke sekolah
“Gembira dan lega saya mendengarnya… terima kasih pada cikgu dan murid yang membantu Dhia. Tak lupa juga kepada semua yang mendoakan dan beri kata semangat di TikTok.
“Jujurnya saya tak ‘down’ pun dapat anak macam Dhia malah layan dia macam orang normal dan harap ibu bapa lain yang senasib juga sama serta banyakkan bersabar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd