PADA hari Sabtu, 8 Februari 2025, tiga orang lagi tahanan rejim Zionis dibebaskan oleh Briged Al-Qassam.
Jam 4 petang waktu Malaysia, kelihatan begitu ramai pejuang Al-Qassam memenuhi sebuah kawasan lapang di hadapan bangunan yang masih elok di Deir Al-Balh itu. Mereka membentuk benteng agar proses pembebasan tiga tahanan itu dapat berjalan lancar dan tiada halangan daripada penduduk setempat.
Sementara menunggu ketibaan kenderaan yang membawa tahanan, lagu patriotik atau nasyid perjuangan HAMAS dialunkan.
Di pentas, beberapa keping potret pemimpin HAMAS dan Briged Al-Qassam yang telah syahid dipaparkan.
Banner tertulis:
نحن الطوفان، نحن اليوم التالي
We’re the flood… the war’s next day dibentang di pentas. Mungkin daripada sudut terjemahan, ada sedikit kejanggalan namun maksud tersiratnya difahami.
Di bawah pentas, banner ditulis dalam bahasa Hebrew dengan gambar Netanyahu termenung dan sebuah jentera rejim Zionis yang musnah. Ia menjadi perang psikologi kepada pihak musuh.
Antara kelainan kali ini ialah seorang pemimpin Al-Qassam bertutup muka dengan kain hijau berucap sebelum tahanan diserahkan kepada Pertubuhan Palang Merah. Begitu juga seorang pejuang yang tahu berbahasa Hebrew menemuramah tiga tahanan tersebut di pentas.
Antara soalan yang ditanya: “Apa yang kamu katakan tentang proses rundingan ini? Apa yang kamu mahu beritahu Netanyahu? Apa yang kamu mahu sebut tentang Kataib Al-Qassam?”
Jawapan yang diberi hampir sama: “Rundingan ini mesti diteruskan. Kerajaan Netanyahu gagal.”
Mengenai Al-Qassam, mereka menyebut: “Terima kasih kepada Briged Al-Qassam kerana menjaga kami. Terima kasih kerana risaukan kesihatan kami. Al-Qassam beri kami makan, minum, pakaian.”
Ketiga-tiga tahanan ini kelihatan agak kurus, cengkung dan sakit. Namun, ia bukan kerana Al-Qassam mendera dan menzalimi mereka sepanjang berada dalam ‘jagaan’ Al-Qassam. Memang mereka sudah ada penyakit dan keuzuran masing-masing, juga kerana serangan bertalu-talu dan masa yang panjang dari serangan rejim Zionis itu sendiri.
Tahanan sudah diserahkan di pelbagai tempat, di Dataran Palestin di tengah Gaza, Mukhayyam Jabalia, Pelabuhan Gaza, berhampiran kediaman Yahya Sinwar, Khan Yunus dan Deir Balh. Selepas ini di mana lagi?
Pemilihan tempat yang pelbagai menunjukkan Briged Al-Qassam menguasai Semenanjung Gaza dan medan peperangan ini. Juga menggambarkan tahanan tidak ditahan di satu tempat sahaja dan mereka boleh sahaja membebaskan tahanan dari mana-mana lokasi.
Hebatnya pejuang Palestin. – HARAKAHDAILY 9/2/2025
Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Kemaman.