Akhyar berusaha melepasi kawalan pemain Makassar. Foto Terengganu FC
GOL tunggal Safawi Rasid membolehkan Terengganu FC menyalakan semula harapan ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN selepas menjinakkan pendahulu Kumpulan A, PSM Makassar 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Rabu.
Skuad Penyu kendalian Badrul Afzan Razali yang tampil dengan motivasi kemenangan ke atas Shan United ternyata berdepan tentangan sengit The Red Fish bimbingan Bernardo Tavares.
Kehadiran Ismahil Akinade, Manuel Ott, Akhyar Rashid dan Safawi mengimbangi rangkaian jentera depan pelawat dari Indonesia – Rizky Eka Pratama, Ricky Pratama dan Victor Dethan.
Bagaimanapun jaringan sepakan penalti disempurnakan kapten skuad Penyu pada minit ke-65 itu menjadi pemisah kedua-dua jagoan ASEAN tersebut yang menyaksikan Terengganu keluar pemenang di Gong Badak.
Kedudukan Kumpulan A.
Kemenangan itu membolehkan Terengganu menduduki tempat kedua dengan tujuh mata di belakang kelab liga Thailand, BG Pathum (lapan mata).
Ketiga Pathum dengan tujuh mata, Dong A Thanh Hoa (enam mata), Svay Rieng (empat mata) dan Shan United tanpa sebarang mata.
Terengganu selepas ini akan berdepan Pathum dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium BG, Thanyaburi, pada 5 Februari depan dengan dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir.
Pathum sebelum itu tidak berdepan masalah untuk membelasah kelab tercorot dari Myanmar, Shan United, 4-1 di Stadium Thuwunna, Yangon.
Sementara itu, wakil Vietnam, Dong A Thanh Hoa mengekalkan rekod tanpa kalah apabila terikat seri tanpa jaringan ketika melayan kunjungan kelab Kemboja, Svay Rieng dalam perlawanan di Stadium Thanh Hoa.