sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Impian untuk melihat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong beraksi di Terbuka Malaysia pada 7 hingga 12 Januari ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan selepas pemain itu belum berada di tahap terbaik.
Jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran berkata, beliau tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru sekiranya pemain itu belum benar-benar cergas sepenuhnya.
Jelasnya, Tze Yong kini dalam fasa mendapatkan semula keyakinan serta gaya permainannya memerlukan masa yang tepat untuk kembali beraksi gelanggang dalam kejohanan pada peringkat kompetitif.
“Dia sekarang sudah kembali ke rutin harian iaitu berlatih, tetapi Tze Yong masih memerlukan masa untuk mendapatkan semula semua itu dan kita tidak boleh memaksa dia untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan.
“Jika dirinya belum cergas sepenuhnya, tapi tetap turun beraksi, risiko untuk mengalami kecederaan berulang juga tinggi dan itu akan merugikan,” katanya.
Sebelum ini, Yogendran pernah menyatakan bahawa pemain berusia 24 tahun itu perlu menguatkan kekuatan mental serta fizikal kerana itu akan membuatkan dirinya mendapatkan keyakinan diri yang sangat tinggi untuk turun beraksi.
Tambahnya, Tze Yong juga adalah prospek penting untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti.
Untuk rekod, pada tahun ini, Tze Yong hanya sempat beraksi dalam dua kejohanan sahaja iaitu Terbuka Malaysia pada Januari lalu yang menyaksikannya mengalami kecederaan belakang dan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Februari.
Malah dia juga terpaksa menjalani dua pembedahan akibat kecederaan belakang yang dialaminya itu.
Kecederaan yang menimpa naib juara Terbuka Artik 2023 menyaksikan dia terlepas tiket ke Paris 2024 biarpun pada suatu ketika berada di landasan tepat untuk layak buat kali pertama pada temasya sukan terbesar dunia itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd