Juara pertandingan realiti nyanyian, Calpis Soda One In A Million (CSOAIM), Marrygrace terbuka apabila terdapat segelintir pihak yang mempertikaikan kemenangannya itu.
Marygrace atau nama penuhnya, Marygrace Jane Penserga, 24, menganggap bahawa setiap individu mempunyai pandangan mereka tersendiri.
“Tak mengapa, itu pandangan mereka dan saya faham sebab saya pun ada rasa layak ke saya bergelar juara.
“Semua top 100 sangat hebat tetapi mungkin juri nampak sesuatu dalam diri saya, itu yang buat saya bersyukur sangat-sangat. Saya juga minta maaf kalau saya ada buat salah,” katanya.
Mengulas mengenai kemenangannya itu, anak kelahiran Sabah ini masih terasa seperti dirinya dibuai mimpi.
“Saya masih rasa macam bermimpi.. Sejujurnya, perjalanan dalam CSOIAM ini tak pada saya sangat tidak mudah, bila jadi juara ibarat pengakhiran yang bahagia,” ujarnya.
Marrygrace berkata demikian ketika ditemui usai CSOIAM yang berlangsung di Glenmarie, Shah Alam pada Ahad.
Ketika disoal mengenai perancangan selepas meraih wang tunai sebanyak RM500,000 itu. Marygrace berkata dia berhasrat mahu membahagiakan ibu dan keluarga, selain mahu membina pusat kebajikan.
“Insya-Allah, selain nak bawa ibu tunai Umrah, saya juga ingin membina sebuah rumah yang lebih selesa untuk keluarga di Keningau, Sabah.
“Saya juga ingin tubuhkan pusat kebajikan sendiri. Saya sangat sukakan kucing dan kanak-kanak, jadi saya nak bantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Selain wang tunai RM500,000, Marygrace turut membawa sebuah kereta Peugeot 408 GT, kontrak rakaman bersama Alternate Records selama dua tahun dan lagu baharu digubah oleh komposer dan penyanyi Indonesia, Ade Govinda.