'Terbang' RM24,000 gara-gara bela kura-kura terancam

'Terbang' RM24,000 gara-gara bela kura-kura terancam

am@hmetro.com.my

Seremban: Suami isteri masing-masing didenda RM24,000 di Mahkamah Sesyen, di sini, tadi, atas empat pertuduhan menyimpan sembilan kura-kura yang dilindungi dan kura-kura spesies terkawal pada November 2022.

Hakim Mazni Nawi turut memerintahkan tertuduh, Lee Mun Heng, 65 dan Lim Chai Hak, 50, dikenakan hukuman penjara bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan pertama, pasangan itu telah didapati menyimpan seekor kura-kura katub betina (Cuora amboinensis) tanpa lesen iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Oleh demikian, tertuduh melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 62 Akta 716, dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua tertuduh telah menyimpan tiga kura-kura katub dan dua kura-kura African Spurred Tortoise tanpa lesen iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta 716.

Tertuduh, melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta 716, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 60 (1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan seterusnya, pasangan itu didapati menyimpan tiga ekor kura-kura Telinga Merah (Trachemys scripta) iaitu spesies terkawal mengikut Jadual Kelima Akta 716.

Justeru, pasangan itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 117(1) Akta 716, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 117(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM9,000 bagi pertuduhan pertama makanala RM5,000 bagi tiga lagi pertuduhan.

Semua perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 9.30 pagi November 2022 di sebuah rumah beralamat di Green Street Homes, Seremban 2, di sini.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Perhilitan, Gilmoore G Bolongon manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Jayaprakash Rao dan Ong Chong Ming.

© New Straits Times Press (M) Bhd