Terbaik, Tuan…

Terbaik, Tuan…

am@hmetro.com.my

Balik Pulau: “Niat saya cuma mahu melancarkan trafik dan memastikan tiada orang awam terlanggar pokok tumbang sahaja,” kata Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal.

Terdahulu video Kamarul Rizal ketika membantu mengawal lalu lintas yang sesak akibat kejadian pokok tumbang di Jalan Paya Terubong-Balik Pulau di sini, semalam, tular di laman sosial.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam berdekatan Hentian Anjung Indah itu, beliau yang tanpa memakai pakaian seragam polis, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Balik Pulau selepas selesai makan malam bersama keluarga di Air Itam.

“Kebetulan saya guna laluan itu bagi pulang ke rumah dan ada pokok tumbang merintangi jalan akibat cuaca hujan dan ribut.

“Ada beberapa orang awam turut membantu mengalihkan pokok dan saya bantu melancarkan trafik kerana tidak mahu kemalangan berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, beliau kemudian menghubungi anggota Balai Polis Balik Pulau yang bertugas bagi digerakkan ke lokasi dan menyuraikan aliran trafik yang kembali lancar selepas itu.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang awam di lokasi yang bertindak memastikan kelancaran trafik di kawasan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top