Tepati jiwa Gen Z

Tepati jiwa Gen Z

georgie@hmetro.com.my

Hayat bertahan lebih dua dekad dalam industri muzik tempatan itu sendiri sudah menjadi pencapaian membanggakan buat 6ixth Sense. Mereka layak untuk berbangga kerana berjaya melakar legasi tersendiri.

Namun, relevan dan seiring peredaran zaman itu bukan mampu dinikmati semua penghibur. Takdir tertulis cukup adil buat kumpulan ini yang sentiasa tampil dengan karya malar segar.

Dianggotai Adi Priyo Sambodo atau Adi selaku penyanyi utama, Mohd Faiz Azizi atau Gjie (keyboard), Zairul Azreen Shah atau Harry (gitar), Shahrul Effendy atau Athan (gitar), Safuan Hasnan atau Wan (dram) dan Mohd Fairos atau Ayoy (bass), mereka turut diminati golongan Gen Z.

Adi menyifatkan ditakdirkan dapat ‘menumpang’ ombak setiap era itu sebenarnya amat disyukuri mereka, terutama dalam kalangan pendengar tertinggi iaitu muda-mudi.

“Kami tidak pernah jangka akan terus memiliki pengikut yang kuat selama lebih 23 tahun. Lagi-lagi dalam kalangan pendengar muda, ada yang mengikuti padahal kami adalah band lama.

“Ingat tak pada sekitar 2008 ketika muzik indie sangat digilai? Kebetulan kami pun sedang meningkat ketika itu. Kami pun menumpang zaman itu juga. Sama seperti sekarang.

“Alhamdulillah mungkin remaja masa kini cenderung kepada zaman ‘healing’ dan lagu ‘galau’. Kebetulan pula lagu kami memang begitu dan kena pada jiwa Gen Z,” katanya.

Menyelak perjalanannya, tidak banyak hal ‘panas’ terpalit nama kumpulan ini. Jika menyebut mereka, pasti rata-rata akan berbalik kepada rangkaian karyanya yang hit.

Menurut Adi, 6ixth Sense cuma mengalami goyah kecil pada sekitar 2020 apabila Gjie memutuskan mengundur diri kerana kekangan komitmen berbeza sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dia keluar beberapa hari sebelum PKP. Kebetulan dia pun baru dapat anak. Komitmen untuk buat rakaman sampai tengah malam dan dia pula bekerja sebagai penerbit muzik di sebuah stesen radio.

“Kami faham dia terikat dengan kerja dan perlu rehat juga. Jadi, kami berikan ruang buatnya berehat. Mungkin ini takdir yang membuatkan Harry datang. Kalau dia (Gjie) tak keluar, kami tak uji bakat pemain gitar lain,” katanya.

Daripada berlima, kini ahlinya bertambah kepada enam. Ternyata setiap keputusan yang mereka ambil tetap berakhir dengan pilihan tepat juga.

“Selepas keluar dari syarikat rakaman, kami selesa dan ingat akan terus bergerak secara berlima. Sudah menjadi hikmah apabila ujian itu membawa kepada penemuan Harry,” katanya.

6ixth Sense juga percaya faktor terpenting mereka tetap bertahan lama adalah kerana sentiasa percaya kepada proses perjalanannya. Biar kemanisannya dituai lambat, asal berbaloi.

Menurut Wan pula, kemandirian mereka juga bukan setiap masa berhasil. Ada titik-titik buntu juga terpaksa dilalui terutama dalam proses memajukan dan memperbaiki diri.

“Setiap perjalanan itu, kami perlu ada perubahan dan tidak duduk dalam zon selesa saja. Tapi, untuk beranjak ke perubahan baharu, kami tidak dapat gambarannya yang jelas.

“Pendatang baharu sekarang kena miliki kesabaran tinggi. Bukan baru seminggu masuk studio (rakaman), sudah gian nak popular. Proses perjalanan itu perlu dijalani dengan tabah walau ambil masa bertahun-tahun.

“Untuk mendapatkan Adi sebagai penyanyi pun bukan mudah. Ambil masa empat tahun selepas bertukar-tukar penyanyi. Kena ada ketua juga yang bertindak neutralkan semua kepala kami,” katanya.

Dalam pada itu, mereka amat teruja dapat menunaikan impian mengadakan konsert sempena dua dekad menerusi 6ixth Sense Hori20ntal: Celebrating 20 Years pada 9 Februari tahun depan di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert anjuran Showtag Asia dan dibawakan oleh Juragan itu bakal menyaksikan kumpulan ini curahkan sepenuh jiwa raga dan tenaga atas pentas.

“Sudah lebih 20 tahun kami lalui, masak dengan pelbagai cabaran dan naik turun. Kami ada buat konsert juga sebelum ini, namun kecil-kecilan saja. Ini konsert yang pastinya bawa makna besar.

“Kami pasti akan tampilkan kelainan berbanding persembahan yang selalu orang tonton sebelum ini. Kami akan persembahkan lagu dari album pertama sampai yang baharu,” kata Adi.

Menariknya, Jennifer Thompson bertindak sebagai pengarah muzik konsert itu. Katanya, dia terharu dapat kepercayaan kerana itu konsert band pertama yang akan dijayakannya.

“Bukan selalu dapat peluang ini. Selama ini, saya kendali konsert artis solo saja. Memang teruja kerana pasti berbeza kalau buat band. Konsep saya serah pada mereka, cuma pelaksanaan ada pembaharuan,” katanya.

Penjualan tiket 6ixth Sense Hori20ntal: Celebrating 20 Years dibuka sejak 3 Disember lalu dan boleh dibeli menerusi laman web https://www.ticket2u.com.my.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top